24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Bila Melayu Buka Pusat Bahasa Cina

Wilayah
Typography
JOHOR BAHRU: Tidak menghairankan apabila dua guru Melayu mengajar bahasa Mandarin untuk orang dewasa dan kanak-kanak kerana kedua-dua mereka telah menggunakan dialek itu sejak usia tiga tahun lagi. Faiezah Ahmad Fauzi, 30, dan kakaknya, Fazlieana, 31, mula mempelajari bahasa Mandarin di usia muda setelah bapa mereka bertegas mahu mereka mempelajarinya kerana percaya ia akan mampu memberi manfaat kepada masa depan mereka. Bapa mereka, yang memiliki perniagaan paip, mahukan kesemua enam anaknya belajar bahasa Mandarin sebagai persediaan untuk mereka mengambil alih perniagaannya. "Jadi, lebih mudah untuk kami berkomunikasi dengan pelanggan jika kami menceburi bidang perniagaan satu hari nanti," kata Faiezah, anak kedua dalam keluarga. Faiezah menerima pendidikan awal di sekolah vernakular Cina, dan merupakan bekas pelajar Sekolah Tinggi Foon Yew yang terkenal di Johor. Beliau kemudian mengasah kemahiran bahasa Mandarinnya, sambil Fazlieana menyahut cabaran itu untuk membantu perniagaan keluarga. "Pada mulanya, sebenarnya saya tidak begitu berminat (belajar bahasa Mandarin). Saya tertanya-tanya mengapa keluarga saya berbeza dengan jiran-jiran lain yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan, bukannya sekolah vernakular. "Tetapi, bagus juga apabila saya dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan Cina saya dengan bahasa mereka dan saya melakukannya bersungguh-sungguh, dan kelebihannya adalah kita boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan dengan lebih baik," kata Faiezah dalam satu temubual ketika ditemui di sini, Selasa. Kecintaan mereka terhadap bahasa itu berkembang ke tahap di mana dua adik-beradik ini bekerjasama untuk membuka sebuah pusat latihan bahasa Cina di Taman Seri Orkid, Skudai, tahun lepas. "Selepas pengalaman saya belajar bahasa itu, saya mempunyai keinginan untuk mengajar orang lain pula," tambah beliau. Faiezah berkata, di rumah, ahli keluarganya bertutur dalam bahasa Mandarin dan menonton drama TV Cina serta mendengar lagu-lagu Cina dan ia "mengejutkan ramai rakan dan saudara-mara". Beliau berkata, kebanyakan pelajar mereka adalah golongan dewasa yang bukan berbangsa Cina, Melayu dan India yang bekerja dan berumur sehingga 50 tahun yang mahu mempelajari bahasa tambahan. Faiezah berkata, mereka membangunkan sendiri modul daripada buku-buku dan laman web pendidikan di China. Selain buku, beliau memastikan pelajar terus berminat dengan menggunakan kaedah pengajaran seperti bermain, menyanyi, menyimpan diari dan menulis frasa dalam sistem fonetik Hanyu Pinyin. "Adalah satu kepuasan apabila kita melihat pelajar-pelajar yang merasa sukar pada mulanya tetapi dapat bertutur sepenuhnya selepas menamatkan kursus tiga bulan," tambah Faiezah-MSTAR