24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Polis Letup Bungkusan Hitam Mengandungi Bom Tangan

Wilayah
Typography

BUKIT MERTAJAM: Polis meletupkan satu bungkusan hitam dipercayai mengandungi grenad yang ditemui dalam tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim di sini, tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor berkata, bom itu diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 12.05 tengah malam, kira-kira 10 meter di luar tandas stesen minyak itu.

"Bom tangan itu diletupkan selepas pemeriksaan bomba mendapati kesan pemewapan gas yang terhasil daripada bahan api hanya lima peratus.

"Kita mengambil kira keadaan persekitaran stesen minyak itu sebelum meletupkan bom berkenaan," katanya di tempat kejadian di sini.

Bungkusan hitam dipercayai berisi grenad itu ditemukan oleh orang awam yang menggunakan tandas berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Rusli berkata, siasatan awal mendapati pemilik stesen minyak itu tidak menerima sebarang ugutan sebelum ini.

"Bagaimanapun kita akan menyiasat motif sebenar kejadian itu.

"Kita akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenalpasti suspek yang bertanggungjawab meletakkan bungkusan berisi bahan letupan di dalam tandas berkenaan," jelasnya.

Berikutan penemuan itu, polis menutup kawasan berkenaan dan memindahkan beberapa penduduk berhampiran stesen minyak itu sejak pukul 7 petang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, beberapa jentera bomba dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pihaknya terpaksa memanggil unit pemusnah bom bagi menjalankan pemeriksaan lanjut selepas mendapati ianya mengandungi bahan letupan jenis Granade M63.

"Kita akan memanggil pemilik dan pekerja stesen minyak berkenaan bagi menjalankan siasatan daripada semua aspek," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat yang turut berada di tempat kejadian, berkata pihaknya telah menjalankan beberapa pemeriksaan dan ujian sebelum keputusan untuk membenarkan bom itu diletupkan.

"Kami takut kalu meletup ada api dan merebak ke stesen minyak tetapi Alhamdulillah semua terkawal. Keadaan stesen minyak selamat sekarang ini," katanya.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

- Awani