25
Isn, Sep
685 ARTIKEL BARU

Penduduk Bantah Pembinaan Kondominium Bersebelahan Masjid

Wilayah
Typography

KOTA BHARU – Satu bantahan aman oleh Penduduk Kejiranan Raja Dewa telah diadakan di perkarangan Masjid Sultan Muhammad II atau Masjid Telipot untuk membantah pembinaan Kondominium 24 tingkat, Jumaat.

Pembinaan Kondominium 24 tingkat itu yang telah dirancang oleh Yayasan Islam Kelantan di atas lot tanah PT 470 terletak betul-betul bersebelahan dengan Masjid Sultan Muhammad II.

Penduduk dan Kariah masjid Telipot mendakwa pembinaan kondominium itu bakal menganggu proses pengubahsuaian untuk membesarkan Masjid Telipot kelak kerana jumlah jemaah masjid yang semakin ramai.

“Adalah lebih baik Tanah Lot PT 470 itu diberikan ruang kepada Pembesaran Masjid dengan berbagai aktiviti seperti pusat pengajian dan sebagainya yang lebih berfaedah.” Ujar Sheikh Abd Rahim Sheikh Mohammad, Timbalan Pengerusi JawatanKuasa Persatuan Penduduk Setempat Raja Dewa.

Tambah beliau lagi, penduduk juga meragui bagaimana penyerahan tanah kepada Yayasan Islam Kelantan yang baru diluluskan dan dikeluarkan no lot PT 470 hanya dalam masa tidak sampai setahun dari fail ukur yang dimasukkan pada 30 Julai 2014.

Satu surat bantahan telah dihantar kepada Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Ahmad Yaakob bertarikh 11 September 2014 dan salinannya kepada 11 Individu dan Jabatan yang lain, tetapi masih juga bantahan ini tidak dipedulikan oleh mereka, luah beliau.

Abd Rahim dan Penduduk Kejiranan Raja Dewa memohon kepada seluruh rakyat Kelantan supaya turut sama membantah pembinaan Kondominium 24 tingkat bersebelahan dengan Masjid Sultan Muhammad II ini demi menjaga Institusi Masjid dan syiar Islam di bumi Kelantan.