17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

X-Files Kembali Temui Peminat

Hiburan
Typography

JIKA anda masih ingat, sekitar 14 tahun lalu, kita pernah dihidangkan dengan drama bersiri penyiasatan paranormal berjudul X-Files, gandingan mantap dari Detektif Fox Mulder dan Detektif Dana Scully.

Selepas itu, kelibat kedua-dua detektif itu tidak lagi kelihatan dalam kaca televisyen melainkan dalam siaran ulangan.

Kini, kerinduan para peminat siri televisyen ini terubat apabila drama popular itu kembali disiarkan dalam drama enam episod yang mula ditayangkan Isnin lalu menerusi Astro saluran 724, Fox HD.

Tampil dengan premis sama iaitu penyiasatan kes paranormal, episod pertama berjudul My Struggle memaparkan Mulder dihubungi oleh Scully bagi pihak FBI untuk menyiasat tuduhan seorang ahli teori konspirasi tentang penggunaan teknologi makhluk asing oleh kerajaan.

X-Files masih mengekalkan dua pelakon utama, David Duchovny (Mulder) dan Gillian Anderson (Scully) di samping beberapa watak lain yang pernah muncul dalam siri asal seperti The Smoking Man lakonan William B. Davis, Monica Reyes (Annabeth Gish), dan John Fitzgerald Byers (Bruce Harwood).

Kemunculan semula drama ini bersama pasangan detektif popular itu nyata memberi impak kepada peminat drama tersebut.

Rata-rata netizen menyambut baik kemunculan semula drama tersebut di kaca televisyen.