11
Isn, Dis
908 ARTIKEL BARU

ABPBH 29 Kembali Dengan Tema #RESPEK

Hiburan
Typography

KUALA LUMPUR - Acara berprestij, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang memasuki edisi ke-29 kembali dengan menampilkan tema #RESPEK.

Pemilihan tema yang membawa maksud menghormati, menyanjung, mengiktiraf dan menghargai individu atau sesuatu perkara itu dianggap bertepatan dengan industri seni yang antara lain mahu karya penggiatnya diterima, dihargai dan dihormati.

Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 29, Datuk Mahfar Ali, berkata tema #RESPEK diharap dapat mendekati kelompok peminat baharu melalui penyebaran maklumat melalui media sosial sesuai dengan kematangan usia penganjurannya.

"Sebagai akhbar 'Merentas Generasi', BH bersemangat untuk terus menganjurkan acara berprestij yang sentiasa dinanti-nantikan peminat seni hiburan tanah air.

"Ia terbukti pada ABPBH 28 lalu apabila acara yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 mencatatkan jumlah tontonan tinggi 5.5 juta, manakala siaran langsung melalui atas talian mencatat 62,000 penonton dan laman sesawang ABPBH pula mencatatkan 746,000 penonton.

"Statistik di arena dalam talian pula mencatatkan tiga juta pengguna laman sosial menggunakan #ABPBH2014 pada malam kemuncak berlangsung, malah ABPBH 28 menjadi trending selama dua hari, bukan saja di Malaysia malah di dunia," katanya.

Mahfar berkata, BH yakin acara itu akan terus kekal relevan sebagai pengukur prestasi penggiat seni selaras dengan evolusi berita dan kandungan akhbar berkenaan yang sentiasa mengutamakan produk segar dan menarik perhatian pembaca muda

 Borang undian mulai lusa Pencalonan awal ABPBH 29 menyaksikan lebih 250 selebriti dan personaliti tanah air bersaing dalam 13 kategori utama yang dipertandingkan.

Borang pencalonan awal mula disiarkan dalam akhbar BH dan BH Ahad mulai lusa sehingga 13 Mac bagi membolehkan pembaca mengundi lima calon pilihan ke peringkat akhir.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 29 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir pula berkata, anugerah itu bukan sekadar mengiktiraf penggiat seni tanah air, sebaliknya ia memberi peluang kepada pembaca memilih artis pujaan masing-masing melalui undian di akhbar dan secara dalam talian.

Pihak penganjur turut membuat pengubahsuaian bagi kategori anugerah Artis Komedi Popular, Pengacara TV Popular dan Penyampai Radio Popular selain memperkenalkan sebuah kategori baru iaitu Artis Versatil Popular.

"Penggabungan kategori dilakukan untuk ketiga-tiga anugerah terbabit yang menyaksikan tidak ada lagi pemenang bagi kategori lelaki dan wanita.

"Setiap calon dipertandingkan pula haruslah mempunyai produk yang dikeluarkan dari Januari tahun lalu hingga Disember 2015. Selain itu, nama yang dicalonkan juga mestilah popular dan memberi impak kepada industri hiburan tanah air. Manakala peminat mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pemenang yang layak untuk Anugerah Bintang Paling Popular," katanya.

Lima kategori online Seperti tahun sebelum ini, akhbar BH turut mengadakan kategori sampingan secara online di laman web ABPBH iaitu www.abpbh.com.my bermula 25 Mac depan.

Lima kategori dipertandingkan ialah Artis Trending Popular, Artis YouTube Popular, Personaliti Media Sosial Popular, Artis Ikon #Respek Popular dan Artis Aksi Selfie Popular.

ABPBH ialah satu-satunya anugerah pilihan pembaca yang dianjurkan secara konsisten di negara ini.

Acara kali ini menampilkan kelainan sesuai dengan usia penganjurannya yang menghampiri tiga dekad. Konsep #RESPEK akan diterjemahkan menerusi setiap aktiviti promosi dan publisiti ABPBH 29 yang merentasi semua platform dengan memberi penekanan terhadap media sosial dan digital.

Karnival ABPBH Fans Gig dan kempen kreatif yang menggunakan video berkisar cerita menyentuh emosi dan perasaan melalui jaringan digital serta rangkaian sosial media menjadi acara terbesar sebelum malam kemuncak ABPBH 29 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 8 Mei depan.

BH ONLINE