24
Ahd, Sep
701 ARTIKEL BARU

Seniwati Neng Yatimah Meninggal Dunia Akibat Sakit Tua

Hiburan
Typography

KUALA LUMPUR - Seniwati Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad, 92, meninggal dunia di Hospital Khoo Teck Puat, Singapura jam 10.10 pagi ini kerana sakit tua.

Seniwati yang terkenal dengan jolokan 'bintang air mata' itu menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarganya.

Cucunya, Rezainuddin Mustapha, 40, berkata neneknya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua hari lalu selepas mengadu tidak sihat.

"Saya menerima berita kematian ini daripada saudara yang berada di Singapura...kami ahli keluarga di sini sedang menguruskan persiapan untuk ke sana," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi di Singapura selepas solat Zohor, katanya.

Rezainuddin berkata kali terakhir beliau bertemu dengan neneknya pada Aidilfitri lalu.

"Saya sempat ziarah nenek dan meluangkan masa bersamanya pada Hari Raya lalu dan nenak sudah tidak berapa sihat ketika itu," katanya.

Allahyarhamah adalah ibu mertua seniman Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.

Neng Yatimah adalah pelakon hebat filem Melayu pada era 50 dan 60-an yang terkenal menerusi filem antaranya Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing, Racun Dunia dan Mama oh Mama.

 

-- BERNAMA