22
Ahd, Jul
50 ARTIKEL BARU

Pak Pandir 'Yang Remeh Temeh' meninggal dunia selepas menderita 3 penyakit

Hiburan
Typography

PENYANYI yang pernah popular dengan lagu Yang Remeh Temeh, Pak Pandir meninggal dunia pada usia 62 tahun.

Pak Pandir atau nama sebenarnya Azmi Ali menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kajang kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Isteri Pak Pandir, Rosmi Salmiah memaklumkan pemergian suami tercinta melalui entri FB, pagi tadi.

Allahyarham dimasukkan ke bahagian kecemasan kerana mengalami masalah tekanan darah rendah, buah pinggang dan paru-paru berair pada Selasa lalu.

Terdahulu Allahyarham sempat berkongsi status keadaan kesihatannya termasuk wad diduduki kepada peminat di laman sosial Facebook bagi memudahkan mereka yang ingin melawatnya di situ.

"Kepada semua peminat, kawan-kawan, keluarga dan sesiapa yang mengenali saya dan tertanya-tanya benarkah saya dimasukkan ke wad sekali lagi, ya! betul, kerana masalah tekanan darah rendah, buah pinggang, kandungan air di paru-paru.

"Keadaan saya tidak stabil. Saya sekarang berada di Hospital Kajang, katil nombor 24, wad 2, tingkat 1. Doakan yg terbaik utk saya," tulisnya awal pagi semalam.

Pak Pandir yang aktif sebagai pemuzik jalanan meninggalkan seorang isteri, Rosmi Salmiah dan tujuh anak serta tiga cucu.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Annur Kantan Permai, Kajang pada jam 9.30 pagi dan kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.

Gempak | Diterbitkan pada Jun 29, 2018 16:52 MYT