29
Kha, Jun
626 ARTIKEL BARU

Hati-Hati Tindakan Pihak Racuni fikiran Benci kerajaan

Bahasa Melayu
Typography

KINABATANGAN - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang cuba meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan.

Menurut beliau pihak tertentu di luar negara itu berbuat demikian kerana cemburu dengan kerajaan yang mampu memajukan negara dalam suasana demokrasi sekali gus menyumbang kepada keamanan.

“Mereka (pihak tertentu di luar negara) bersekongkol dengan kumpulan kecil di Malaysia meracuni pemikiran rakyat termasuk membuat tohmahan dan fitnah kepada Perdana Menteri.

“Ia bertujuan agar rakyat hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman di sini, semalam.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata mereka menggunakan media sosial dengan memberi gambar negatif untuk meracuni pemikiran rakyat agar membenci kerajaan.

Beliau memberi contoh sebuah portal media iaitu Sarawak Report yang dikuasai oleh orang barat, Clare Brown bersekongkol dengan individu di negara ini bertujuan meracuni pemikiran rakyat untuk membenci Perdana Menteri.

“Mereka melemparkan pelbagai tuduhan melalui media sosial yang kesahihannya diragukan. Agenda utama mereka ialah agar kerajaan ikut telunjuk dan kehendak mereka,” katanya.

Sehubugnan itu, Salleh berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bertindak menyekat Sarawak Report tetapi mereka terus menggunakan kaedah lain termasuk Facebook dan Twitter untuk mengembangkan fahaman ideologi mereka.

Katanya tindakan mereka itu bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dengan rakyat memilih pemerintah menerusi pilihan raya umum.

Beliau berkata sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk bersyukur dengan erti kemerdekaan yang perlu dipertahan serta dipelihara daripada diganggu gugat oleh pihak yang cemburukan keamanan serta perpaduan rakyat di negara ini.

“Kita rakyat Malaysia yang menentukan masa depan dan parti mana yang memerintah,” katanya.

Menurutnya kuasa luar itu mahu membuat perubahan pemerintah negara dengan mengganggu gugat dengan dua cara iaitu dengan mencampuri sistem politik negara dan meracuni pemikiran rakyat.

“Mereka tidak berada di negara ini tetapi menggunakan media sosial untuk meracuni pemikiran rakyat,” katanya.

Beliau berkata pihak berkenaan tidak menunggu pilihan raya umum kerana mereka tahu akan kalah dan ini terbukti menerusi kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya di Sarawak dan dua Pilihan Raya Kecil di Selangor serta Perak.

 

Salleh berkata kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat termasuk peluang ekonomi dan pekerjaan biarpun ada cubaan pihak tertentu mahu mengguling pemerintahan beliau dengan cara tidak demokrasi.