29
Kha, Jun
626 ARTIKEL BARU

Kebocoran Gas Punca Gangguan Bekalan Elektrik

Bahasa Melayu
Typography

KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebocoran gas Sulfur Hexafluoride daripada merebak di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini malam Jumaat lalu.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah Penguasa Khatizah Rahaban berkata, kejadian berkenaan dipercayai berpunca ketika Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperbaiki kotak suis dalam ruang bilik pemutus litar di bangunan berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati semasa kerja pembaikan dijalankan berlaku percikan api dan gas berkenaan bertindak balas terhadap percikan berkenaan.

“Sebaik anggota bomba tiba di lokasi, tiga anggota HAZMAT bergegas masuk ke dalam bilik terbabit untuk membuat pengudaraan dengan membawa peralatan pengesan gas dan ‘sampling pump’ yang bertujuan mengesan kepekatan gas di lokasi.

“Percikan api terbabit bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya daripada merebak dengan lebih besar yang mengambil masa selama kira-kira dua jam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian berkenaan jam 10.22 malam dan menggerakkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama dua jentera ke lokasi kejadian sejauh satu kilometer.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu dan operasi keseluruhan tamat jam 12 tengah malam.

Sementara itu, SESB dalam satu kenyataan menjelaskan perkakasan suis 33 KiloVolt (kV) pada Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sembulan mengalami kerosakan pada malam Jumaat lalu.

Katanya, kejadian berkenaan turut menjejaskan bekalan elektrik selama beberapa jam di kawasan sekitar sini termasuklah Luyang, Sinsuran, Centre Point, Asia City, Imago dan sebahagian Jalan Tuaran serta Karamunsing.

“Bekalan elektrik terbabit bagaimanapun sudah dipulihkan secara berperingkat selepas penyaluran bekalan melalui sumber bekalan alternatif selain menggunakan set jana kuasa mudah alih kepada pengguna dan bekalan dapat disalurkan bermula jam 11.30 malam Jumaat sehingga jam 3.30 pagi kelmarin.

 

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talian SESB di 15454 ataupun 088-515000 sekiranya mengalami masalah elektrik agar tindakan pemulihan dapat diambil dengan kadar segera.