17
Kha, Ogs
843 ARTIKEL BARU

Pemandu Lelaki Maut Kereta Terbabas Dan Rempuh Pokok

Bahasa Melayu
Typography

LABUAN - Seorang pemandu lelaki maut selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 3.5, Jalan Tun Mustapa berhampiran Taman Amananda di sini awal pagi kelmarin.

Mangsa yang berusia 21 tahun dan beralamat di Taman Wong Lo Wilayah Persekutan Labuan, disahkan maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Adzhar Othman berkata, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota yang terbabas sebelum melanggar pokok di atas pembahagi jalan sebelah kanan.

“Kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa bersama dua rakan, masing-masing berumur 19 dan 21 tahun dalam perjalanan dari arah Pohon Batu menghala ke pusat bandar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan terbabas ke atas pembahagi jalan sebelum melanggar pokok di atas pembahagi jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kereta sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat Labuan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala penumpang hadapan mengalami kecederaan ringan di bahagian muka dan penumpang belakang patah di bahagian kaki kanan.

“Mangsa yang maut akan dibedah siasat hari ini manakala dua yang cedera masih menjalani rawatan di Hospital Nukleus Labuan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati kemalangan disebabkan kegagalan pemandu mengawal kenderaan menyebabkan ia terbabas di atas pembahagi jalan sebelum melanggar pokok.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Adzhar turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati dalam pemanduan terutamanya ketika musim hujan berikutan pihaknya merekodkan 13 kes kemalangan maut yang bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding hanya 11 kes direkodkan tahun 2015