25
Isn, Sep
686 ARTIKEL BARU

Seleweng Dana Banjir, Ahli PKR Buat Laporan Polis Terhadap Xavier

Semasa
Typography

KLANG - Satu laporan Polis telah dibuat ke atas ADUN PKR Sri Andalas, YB Xavier Jayakumar yang dipercayai telah menyeleweng dan menyalah gunakan wang yang diperuntukkan bagi kebajikan rakyat.

Laporan yang dibuat oleh pengadu yang juga merupakan ahli PKR, Nyanauthanayam A/L Periyanayagam memaklumkan kepada pemberita bahawa dia sebelum ini pernah memohon bantuan banjir kepada ADUN tersebut sebelum ini.

Selepas sebulan, Xavier menghubungi Nyanauthanayam dan memaklumkan bahawa permohonannya itu telah diterima dan sejumlah wang bernilai RM 200 telah diserahkan kepadanya.

Pengadu kemudian diminta untuk menanda tangani baucar penerimaan wang, namun di dapati pada ruangan amaun wang yang diterima hanya ditulis menggunakan pensel, manakala butir-butir yang lainnya ditulis menggunakan pen.

Nyanauthayam yang menyedari perkara tersebut kemudiannya melaporkan hal itu kepada Setiausaha PKR Kelana Jaya, S.Murali dan dia diminta untuk membuat laporan polis.

Selepas laporan dibuat, difahamkan bahawa rumah pengadu telah diserang oleh sekumpulan lelaki dan pengadu turut diugut melalui panggilan telefon.

"Lebih kurang ada 2 atau 3 orang yang datang, masa tu saya tiada di rumah, kakak saya dan anaknya sahaja yang ada (di rumah),

"Dekat-dekat jam 12 hingga 12.30 malam, ada orang buang cat dekat rumah saya dan dia tendang pintu pagar cabar saya keluar," ujar Nyanauthayam lagi.

Setiausaha PKR Kelana Jaya, S.Murali yang turut sama berada di Balai Polis Sentosa hari ini turut mempersoalkan mengenai isu amaun yang ditulis menggunakan pensel itu.

Tegas Murali, terdapat kemungkinan berlaku pertukaran amaun selepas baucar ditanda tangani pengadu kerana jumlah yang diterima pengadu hanyalah satu jumlah yang kecil dan setiap bantuan yang dikeluarkan boleh mencecah hingga RM 2,000 memandangkan setiap bahagian dibekalkan dengan peruntukan sekitar RM 900,000 untuk membantu rakyat setempat yang ditimpa bencana.

Murali turut meminta supaya pihak berwajib, terutamanya kepimpinan PKR untuk menyiasat kes ini secara telus dan terperinci disamping mengambil tindakan terhadap YB Xavier Jayakumar berkenaan isu ini.