24
Isn, Jul
661 ARTIKEL BARU

SPR: Tinggal 22 Hari Untuk Bantah Persempadanan

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), semua pihak berkaitan diberi tempoh sebulan bermula 8 Mac sehingga 7 April ini bagi mengemukakan bantahan masing-masing.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pihaknya akan melihat semua aspek untuk menentukan bantahan itu bersifat relevan.

“SPR akan lihat secara keseluruhan dan  klasifikasikan dari aspek sama ada bantahan itu relevan atau tidak.

“Selain bantahan rasmi daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, pihak ke-3 yang boleh membuat bantahan ialah sekurang-kurangnya 100 pengundi bagi setiap kawasan terbabit,” katanya dalam Slot Khas Ekspresi terbitan Bernama Radio bertajuk ‘Mengundi dan Tanggungjawab Sebagai Warganegara’ pada Khamis.

Jelas Mohd Hashim, SPR hanya mengambil kira bantahan terhadap persempadanan semula dari pihak yang relevan sahaja.

“Kalau ia dibantah kepada satu-satu kawasan yang tidak disentuh, jadi dia bantah untuk apa, ini kita tolak,” katanya.

Pada 8 Mac lepas, SPR menerbitkan cadangan persempadanan semula yang dikemas kini bagi Semenanjung Malaysia selepas selesai inkuiri tempatan selama  empat bulan untuk mendengar bantahan terhadap cadangan awalnya.

Semua pihak diberi tempoh sebulan bermula sehingga 7 April ini untuk mengemukakan bantahan masing-masing kepada SPR.

Inkuiri tempatan di seluruh negara yang merupakan satu keperluan untuk proses persempadanan semula sudah berlangsung dari 31 Oktober 2016 hingga 28 Februari lalu.