20
Rab, Sep
672 ARTIKEL BARU

Pemangku Raja Kelantan Rakam Penghargaan Kepada Kerajaan Pusat

Semasa
Typography

KOTA BHARU - Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra merakamkan ucapan terima kasih baginda kepada kerajaan Persekutuan kerana membawa masuk pelbagai projek pembangunan secara berterusan ke negeri tersebut.

Titah baginda, pelaksanaan pelbagai projek seperti menaik taraf Jalan Pasir Hor - Kadok, pembinaan sebahagian Lebuh Raya Rakyat, projek Bypass Jalan Pasir Mas dan Jejambat Wakaf Bharu bakal memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Beta juga dimaklumkan cadangan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL). Projek ini akan dimulakan melalui pengecaman jajaran dan pengambilan balik tanah tahun ini.

“Beta bersyukur jajaran yang bermula di Gombak, Selangor ini akan dipanjangkan sehingga ke Pengkalan Kubor yang terletak di sempadan Kelantan dan Thailand,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-13 2017, hari ini.

Selain itu, baginda turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan PAS Kelantan serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kerana melaksanakan pelbagai program bagi menarik pelaburan ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.