24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

Kematian Remaja Berbasikal: Sebutan Semula Kes Pada 15 Jun

Semasa
Typography

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes membabitkan seorang jurujual wanita didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, 18 Februari lepas.

Majistret Siti Hajar Ali turut menetapkan tarikh itu bagi menentukan tarikh perbicaraan kes berkenaan selepas menerima permohonan peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon untuk meneliti dokumen yang diserahkan pihak pendakwaaan.

Dalam prosiding hari ini, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Roslan Mat Nor yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali memaklumkan semua dokumen yang diperlukan membabitkan kes itu sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Roslan turut memaklumkan pihaknya mencadangkan seramai 39 saksi akan dipanggil pada perbicaraan yang akan ditetapkan itu.

Bustaman Menon kemudian memohon mahkamah memberikan tempoh masa sebulan bagi membolehkan beliau dan peguam Faizal Mokhtar meneliti kesemua dokumen yang diterima memandangkan terdapat jumlah dokumen yang banyak.

Terdahulu, jurujual itu, Sam Ke Ting, 22, tiba di mahkamah kira-kira 8.30 pagi tadi untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes yang ditetapkan hari ini.

Pada 28 Mac lepas, wanita itu dihadapkan ke mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja lelaki, pada 3.20 pagi, di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, 18 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan.

 

- BERNAMA