24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

Mat Over Tak Kesal Tampar David Teo, Mahu Ajar Hormat PM

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Walaupun meminta maaf di akhir sesi Dialog Transformasi Nasional TN50 menampilkan Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya semalam, pelakon Sulaiman Yassin atau Mat Over tidak kesal dengan tindakannya menampar penerbit filem dan drama, Datuk David Teo.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini,” katanya dipetik Harian Metro, selepas insiden malam tadi yang mengganggu sesi bagi mendapatkan luahan “penggiat seni” di Malaysia.

“Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” katanya.

Sesi tersebut dipengerusikan pelakon Datuk Rosyam Nor.

Bahang mula terasa selepas Teo mempersoalkan Rosyam yang tidak memberikan peluang kepada barisan belakang mengajukan soalan kepada Najib.

Selepas dibenarkan untuk meneruskan soalan, Mat Over tiba-tiba meluru dan menampar Teo. Pergelutan berlaku sehingga pasukan keselamatan meleraikan keadaan.

Insiden itu dirakam secara langsung menerusi Facebook. Najib kemudian dilihat menenangkan keadaan dengan berkata “Relaks, relaks.”

Teo, penerbit lebih 100 filem tempatan di bawah syarikat Metrowealth Pictures, dipetik Harian Metro sebagai berkata beliau tidak mengenali Mat Over dan tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

“Saya hanya mempersoalkan tindakan Rosyam tidak menggunakan pentas bulat itu dengan sepenuhnya dan hanya fokus satu arah di depan saja sedangkan saya juga mahu bertanyakan soalan kepada perdana menteri.

 

“Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang dan sudah memaafkannya,” ujarnya. - FMT