23
Sel, Mei
720 ARTIKEL BARU

Najib ‘Mr Cool’, Damaikan David Teo dan Mat Over

Semasa
Typography

MALAM tadi kecoh cerita pelawak veteran ‘Mat Over’ menampar penerbit filem David Teo di hadapan Datuk Seri Najib Razak pada sesi 'Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni', di Seri Perdana.

Kekecohan bermula apabila Teo seolah-olah mempersoalkan cara Rosyam mengendalikan sesi berkenaan kerana didakwa tidak melihat ke belakang dalam memilih penggiat seni untuk menyuarakan pandangan. 

Program disiarkan secara langsung menerusi segmen FB Live di laman sosial Facebook itu, memperlihatkan Rosyam menegur Teo yang dianggap tidak menghormati Perdana Menteri. Rosyam kemudian memberi laluan kepada Teo menyatakan pandangan dan penerbit filem itu mula berpantun. 

Bagaimanapun, belum sempat Teo menghabiskan pantunnya, Mat Over atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin tiba-tiba tampil lalu menampar Teo. Pasukan keselamatan kemudiannya segera meleraikan kedua-duanya dan membawa mereka keluar dari tempat dialog berlangsung. Rosyam dan Najib kemudian meneruskan sesi dialog bersama hadirin.

Mengulas mengenai insiden tersebut, pengarah filem Mamat Khalid seperti yang dilaporkan media turut beranggapan bahawa tindakan Teo itu sememangnya tidak beradab. Kata Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, mengenali Mat Over secara peribadi, lelaki yang berasal dari Terengganu itu bukanlah seorang yang bengis tetapi sangat bersopan santun. Malah, beliau sendiri tidak menjangkakan Mat Over akan bertindak sedemikian.

“Bersembang dengan kita pun tak bertentang mata, punya lembut Mat Over ini.

“Maklumlah bukan selalu ada ‘open talk’ pasal industri dengan pemimpin negara, mungkin dia tak mampu nak kawal lagi kesabaran dia,” beliau dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun kata Khalid, insiden memalukan itu tidak akan menjejaskan imej industri seni secara keseluruhannya kerana menyifatkan ia lebih kepada sentimen peribadi.

“David bukannya mewakili seluruh industri yang membolehkan orang luar menunding jari dan memandang serong pada industri.

“Pada saya, dia hanyalah satu individu yang memegang tampuk empayar perfileman yang miliknya sendiri dengan caranya sendiri, tiada kena-mengena dengan industri perfileman negara. Dia adalah entitinya sendiri,” katanya.

Memang ada betulnya apa yang dikatakan oleh Khalid itu. Dan Teo sendiri selaku seorang penggiat filem yang mendapat banyak faedah daripada inisiatif kerajaan membantu membangunkan industri perfileman negara seharusnya bertindak lebih profesional dan bukannya tampil biadap. Kesediaan Perdana Menteri untuk meluangkan masa bertemu dengan penggiat seni tanahair seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin, bukannya cuba menimbulkan provokasi. Natijahnya, kan sudah kena penampar sulung Mat Over.

Walaubagaimanapun insiden semalam juga sebenarnya secara tidak langsung telah menampilkan sikap cool, pemaaf dan pendamai Najib.

Sikap negarawan Najib itu terbukti apabila beliau dengan tenang dan profesional meneruskan sesi dialog tersebut demi memastikan matlamat untuk mendengar buah pandangan daripada penggiat seni tanahair dijayakan.

Satu lagi bukti yang melayakkan Najib digelar sebagai ‘Mr Cool’ adalah apabila beliau turut memainkan peranan mendamaikan Teo dan Mat Over pada malam itu juga. Kekecohan kecil itu tamat apabila Mat Over dan Teo bersalaman serta berpelukan sambil disaksikan Najib.