24
Sab, Jun
723 ARTIKEL BARU

Kerajaan Cadang Laksana Program Bantuan Makanan Untuk Golongan Miskin Bandar - TPM

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang melaksanakan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar melibatkan pelbagai kementerian melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan menyediakan makanan sejuk beku untuk golongan miskin tegar bandar.

Ia antara cadangan yang dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini pada Khamis bagi mencari kaedah terbaik dalam menangani isu itu secara bersepadu.

Mesyuarat itu membincangkan beberapa kertas pembentangan dan kertas makluman dari kementerian dan agensi kerajaan mengenai kos sara hidup rakyat khususnya berkaitan isu kemiskinan bandar.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam kenyataan yang diedarkan sempena mesyuarat itu berkata program bantuan makanan itu akan melibatkan kerjasama dengan syarikat pasar raya besar dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada golongan miskin tegar bandar.

Menurut kementerian itu, program makanan bermasak pada harga berpatutan untuk pelajar pula akan dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta khususnya di bandar-bandar besar.

"Pelaksanaan program ini akan turut melibatkan bekas pelajar sebagai operator dan petugas," kata kementerian itu.

Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak peluang manipulasi harga oleh pihak ketiga.

Kerajaan juga akan melaksanakan kajian pengumpulan maklumat keperluan bekalan rumah melalui data-data bilangan pemilikan dan penyewaan rumah bagi memudahkan pihak kerajaan mengenal pasti keperluan rumah dan trend harga rumah berdasarkan lokasi tertentu, kata kementerian itu.

"Kerajaan bercadang memberi insentif kepada pemaju yang membina rumah mampu milik, selain menggalakkan penggunaan material menggunakan teknologi terkini bagi mengurangkan kos pembinaan seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang lebih menjimatkan," kata kenyataan itu.

Kenyataan kementerian itu menyebut kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyalurkan bantuan-bantuan kepada Tabung Bantuan Khas Persekutuan yang akan digunakan bagi membantu program-program kebajikan rakyat.

Antara menteri yang terlibat dalam mesyuarat hari ini ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

 

- BERNAMA