13
Rab, Dis
890 ARTIKEL BARU

PM Mahu Sidang Kemuncak Riyadh Bersedia Tangani Keganasan Dengan Cepat, Berkesan

Semasa
Typography

RIYADH - Sidang Kemuncak Riyadh akan datang mesti bersedia menghadapi keganasan secara cepat dan berkesan di mana dan bila ia muncul, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita mesti pastikan bahawa sifat kekejaman yang kita lihat di Syria dan Iraq dihapuskan. Kita mesti memperlihatkan kita bersedia menghadapi keganasan secara pantas dan berkesan di mana dan bila ia menjelma. Kita mesti tidak menyerah kalah," katanya.

Dalam artikel khas versi bahasa Inggeris bagi akhbar Saudi Gazette dan versi Arab untuk Al Riyadh yang akan diterbitkan esok, Najib percaya Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara ini pada Ahad merupakan usaha penting untuk membawa hubungan antara dunia Islam dan AS pada tahap baharu.

Dengan pemahaman yang lebih mendalam, mereka boleh bekerja bersama dengan lebih baik untuk memerangi kejahilan, penyisihan dan sungutan yang boleh memarakkan keganasan ekstrem, kata beliau.

"Kita tahu Presiden Donald Trump adalah komited untuk menghapuskan Daesh. Di bawah kepimpinan saya, begitu juga Malaysia -- sebagaimana semua negara Islam di Sidang Kemuncak ini dan di luarnya," tulis Najib dalam artikelnya untuk akhbar-akhbar berkenaan.

Najib akan menyertai lebih daripada 50 pemimpin negara Arab dan Islam bersama Trump pada Ahad.

Beliau berkata terpulang kepada mereka semua di sidang kemuncak ini untuk membentuk perkongsian ini dan membuktikan buat selama-lama bahawa tidak terdapat pertembungan tamadun-tamadun dengan dunia Islam di satu pihak dan dunia Barat di satu pihak lagi.

"Hanya terdapat pertembungan dengan ketamadunan yang kita semua ahli semua agama mesti bersatu padu sebagai satu, tegas, yakin dan sedia untuk bertindak," katanya.

Beliau berkata adalah penting semua negara Islam dan para pemimpin menyatakan bahawa tiada yang Islamik mengenai keganasan.

"Islam tulen ialah agama yang memberi pengajaran, bertamadun dan berilmu, tidak membawa kemusnahan dan kematian.

Perdana Menteri berkata Kuala Lumpur sanggup berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam memerangi keganasan dengan semua negara di Sidang Kemuncak itu.

Ini termasuk pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan), program deradikalisasi, melawan naratif menerusi media sosial oleh Pusat Pintas Mesej Serantau.

 

Najib yakin perhimpunan Riyadh akan memperbaharui dan memberi tenaga semula persahabatan antara semua yang hadir dan mengeluarkan pelan halatuju baharu bagi kerjasama, keselamatan dan persefahaman. -- BERNAMA