27
Sel, Jun
634 ARTIKEL BARU

Nahas Hawk : Jenazah Dua Juruterbang Selamat Dikebumikan

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR 16 Jun - Jenazah dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 ketika menjalani sesi latihan semalam, selamat dikebumikan di kampung masing-masing pagi ini.

Jenazah Mejar Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa pada pukul 11.30 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat tiba di perkarangan Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa pada pukul 10.45 pagi sebelum disembahyangkan oleh keluarga terdekat dan orang ramai yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Allahyarham sebelum itu diiringi anggota polis trafik, kenderaan rasmi TUDM dan kenderaan angggota keluarga mangsa ke masjid untuk diberikan penghormatan terakhir.

Turut memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum.

Hadir sama di majlis pengebumian itu ialah isteri allahyarham, Noor Shafora Izwa Mohd Hilmi dan enam anak mereka iaitu Mikhail Adam Riaz; Mukhriz Anwar Riaz, 10; Muaz Addin Riaz, 7; pasangan kembar, Mika Adden Riaz dan Mika Addin Riaz,4 dan Musa Ayman Riaz tiga tahun.

Sebelum itu, Jenazah juruterbang pesawat TUDM jenis Hawk 108 tiba di Pangkalan TUDM Subang kira-kira pukul 9.30 pagi selepas berlepas daripada pangkalan udara Kuantan menggunakan pesawat Hercules C130 pada pukul 9 pagi.

SEMENTARA di Jempol, Negeri Sembilan, jenazah Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, yang maut dalam nahas melibatkan pesawat pejuang Hawk 108 semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lui Muda di sini kira-kira pukul 10.45 pagi ini.

Jenazahnya tiba dari Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 9 pagi sebelum dibawa ke rumah keluarganya dan seterusnya disembahyangkan di Masjid Kariah Felda Lui Muda.

Upacara pengebumian dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk setempat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Asysyuhadak Abdullah, 30, dan seorang anak perempuan, Nur Hafiya yang berusia tujuh bulan.

Yazmi dan Mohd Hasri terkorban selepas pesawat Hawk 108 TUDM terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu semalam.   

Jasad mereka ditemukan pada 2.30 petang semalam, dalam jarak antara 20 meter daripada satu sama lain dan masih memakai payung terjun masing-masing.   

 

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada 11 pagi, sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan setengah jam kemudian. - UTUSAN ONLINE