12
Sel, Dis
884 ARTIKEL BARU

Hawk 108 : Pasukan Khas Ditubuh Siasat Punca Nahas

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat punca nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlaku di kawasan hutan paya Chukai, Kemaman pada 2.30 petang, semalam, yang mengorbankan Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan.

"Ini akan ambil masa beberapa minggu dan setakat sekarang ini, bangkai pesawat masih belum ditemui.

"Saya yakin, InsyaALLAH bangkai pesawat itu akan ditemui dalam masa terdekat oleh pasukan mencari membabitkan beberapa agensi seperti TUDM, tentera darat dan polis," katanya.

Jelasnya, pihaknya berdepan sedikit kesulitan kerana kawasan tersebut adalah kawasan berpaya dan hutan.

Namun, beliau percaya siasatan akan mengambil masa yang singkat sekiranya bukti-bukti yang diterima adalah tepat dan kukuh

Dalam pada itu, operasi membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 dan 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan diberhentikan buat sementara waktu sementara menunggu siasatan punca kemalangan dijalankan.

"Ini bagi kita memberi laluan untuk proses siasatan dijalankan berhubung Hawk 108 yang terhempas," katanya.

 

Jenazah Allahyarham Mejar Yazmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa kira-kira jam 11.45 pagi tadi, selepas disolatkan di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa. -Sinar Harian