17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

Ekonomi Mampan Punca Peningkatan Jumlah Zakat - PM

Semasa
Typography

PEKAN - Perkembangan ekonomi negara yang baik dan mampan membolehkan syarikat dan badan korporat di negara ini memperoleh lebih keuntungan, sekali gus mampu mengeluarkan lebih banyak zakat untuk dikongsikan dengan golongan memerlukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dasar kerajaan membolehkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik, meskipun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu yang antaranya disebabkan kejatuhan harga minyak.

"Hasil dasar kerajaan, kita masih dapat kembangkan ekonomi dengan baik dalam suku pertama tahun ini walaupun dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu. Ini salah satu kejayaan kita walaupun ramai yang tidak dapat menilai.

"Bila kita berjaya, syarikat dan badan korporat mendapat keuntungan yang besar dan mereka dapat mengeluarkan zakat yang lebih besar dan berkongsi rezeki," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM2.6 juta daripada 11 syarikat korporat yang kemudian disampaikan kepada 6,347 golongan asnaf terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal di kawasan Parlimen Pekan di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang turut membantu mengagihkan zakat kepada penerima dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Antara penyumbang zakat yang hadir ialah Pengerusi Bank Rakyat Jen (B) Tan Sri Shukry Mohd Salleh, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holdings Sdn Bhd SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Turut hadir Pengarah Urusan Roadcare (M) Sdn Bhd Datuk Seri Muzaffar Syah Abd Rahman serta Pengerusi Uda Holdings Berhad Datuk Dr Shafie Abdullah.

Kesemua zakat berkenaan diterima daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad sebanyak RM500,000; Nafas (RM500,000); Safura Holdings (RM500,000); Naza Holding Berhad (RM280,000); Roadcare (M) Sdn Bhd (RM250,000); Uda Holdings Berhad (RM200,00) dan Lembaga Tabung Haji (RM100,000).

Zakat turut disumbangkan oleh SME Bank (RM100,000); Wekajaya Sdn Bhd (RM100,000); Affin Islamic Bank Berhad (RM50,000); Yayasan Basmi Kemiskinan (RM50,000) selain Najib sendiri turut menyampaikan sejumlah sumbangan peribadi.

 

Najib turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang zakat yang terlibat kerana memilih untuk menyalurkan bantuan itu kepada golongan asnaf di Pekan yang diharap dapat meringankan bebanan golongan itu membuat persiapan Aidilfitri. -- BERNAMA