25
Sab, Nov
948 ARTIKEL BARU

Sulaiman Mahbob Bakal Teraju FGV?

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Tan Sri Sulaiman Mahbob, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), dikatakan bakal mengambil alih jawatan Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dari Tan Sri Isa Samad.

Perkara tersebut disahkan oleh sumber kepada akhbar tempatan, Berita Harian dan New Straits Times.

Sulaiman yang juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas TM, turut memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Menurut laporan, satu mesyuarat akan diadakan di Putrajaya bagi membincangkan isu FGV, di mana ia akan turut mengambil kira laporan yang disediakan pihak bebas dilantik kerajaan berkenaan situasi syarikat itu.

Laporan yang sama mengatakan Isa juga telah bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini, pagi ini.

Ia menambah, kerajaan akan membuat pengumuman berkenaan kedudukan pengurusan tertinggi syarikat itu, termasuk Isa dan juga Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad, petang ini.

Pada 6 Jun lalu, Lembaga Pengarah FGV mengarahkan Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim, untuk bercuti.

Delima Oil Products Sdn Bhd merupakan anak syarikat kepada FGV.

Ia susulan pertuduhan terdapat unsur salah guna kuasa melibatkan penangguhan bayaran syarikat Afghanistan, Safitex bagi produk kelapa sawit yang dibekalkan oleh Delima Oil Products Sdn Bhd.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Pada 7 Jun lalu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bagi mengendalikan krisis FGV dan mencadangkan penyelesaian.

 

Setakat waktu terbitan berita ini, pihak FGV, FELDA mahupun kerajaan tiada mengeluarkan sebarang makluman rasmi berkenaan perkara ini. – Astro Awani

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.