20
Rab, Sep
672 ARTIKEL BARU

Kerajaan Pertimbang Pemberian Insentif Atlet Deaflympics

Semasa
Typography

PETALING JAYA - Kerajaan akan mempertimbang pemberian insentif kepada atlet pekak yang berjaya menyumbang pingat di Temasya Sukan Deaflympics ke-23 yang bakal berlangsung di Samsun, Turki dari 18 hingga 30 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung jumlah insentif yang akan diberikan.

"Kita amat memberi penghargaan kepada atlet-atlet ini, bukan hanya sebagai kerajaan prihatin tetapi ia adalah komitmen kita sebagai menghargai kejayaan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen Malaysia, Kamarzaman Harun.

Majlis ringkas penyerahan itu dibuat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang di sini.

Sementara itu, Kamarzaman yang juga presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, berkata Malaysia menyasarkan dua pingat emas bagi temasya tersebut melalui acara badminton.

Kontinjen negara yang terdiri daripada 30 orang menyertai tiga acara iaitu badminton, olahraga dan boling.

"Ini merupakan kali kelima kontinjen negara menyertai temasya ini dan kita yakin sasaran pingat kali ini boleh dicapai dengan doa dan sokongan daripada rakyat Malaysia," katanya melalui jurubahasa.

Katanya pencapaian terbaik sebelum ini adalah penyertaan kali ketiga pada tahun 2001 di Itali iaitu pingat emas melalui acara 110 meter lari berpagar lelaki.

 

Temasya kali ini mempertaruhkan 21 acara melibatkan 109 negara dan 4,500 peserta dari seluruh dunia. -- BERNAMA