21
Sel, Nov
913 ARTIKEL BARU

MRT Dijangka Ubah Cara Hidup Penduduk Lembah Klang

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR -  Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berharap agar Aliran Transit Massa (MRT) bagi fasa kedua yang meliputi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) bakal mengubah cara hidup rakyat terutama dari segi pergerakan rakyat dari satu tempat ke satu tempat.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam, jajaran baru yang dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin ini meliputi kawasan luar bandar, bandar serta pinggir bandar selai menghubungkan tempat-tempat penting termasuk pejabat, pusat membeli belah serta tempat – tempat bersejarah.

“Kami (Prasarana) mengambil contoh dari negara lain termasuk Hong Kong di mana pengangkutan awamnya, selain dari digunakan bagi tujuan mengangkut penumpang, ia juga mempunyai bangunannya yang tersendiri di setiap stesen,” ujarnya dalam sidang media dalam Majlis Rumah Terbuka Prasarana di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Jelas Ismail, pihak Prasarana selain itu juga berhasrat membangunkan beberapa stesen untuk dijadikan hab sehenti dengan pelbagai kemudahan umum tersediri.

“Jadi, rakyat yang ingin menikmati segala kemudahan bandar boleh mengambil inisiatif menggunakan MRT untuk ke tempat – tempat yang diingini.

“Maka, jika seseorang itu tinggal di Banting, misalnya, boleh datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki MRT,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyediakan seramai 1,100 pekerja bagi tujuan menguruskan jangkaan 400,000 pengguna MRT sehari sebaik beroperasi pada 17 Julai ini.

“Kita sudah sedia 100 peratus malah ada 1,100 pekerja yang siap sedia untuk berkhidmat yang dilatih sepenuhnya untuk mengendalikan gerabak dan bas penumpang bagi mengalu-alukan kedatangan pengguna apabila dilancarkan nanti.

“Sejak dua tahun sudah kita telah mengambil kakitangan dan diberi latihan peringkat demi peringkat. Kita bukannya tunggu untuk operasi sahaja. Kita sudah buat persiapan awal pagi,” katanya.