21
Sel, Nov
913 ARTIKEL BARU

MRT Fasa Kedua Cipta Kesalinghubungan Pengangkutan - Nancy

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Pembukaan sepenuhnya Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) Isnin ini mencipta satu tahap kesalinghubungan yang belum pernah dinikmati negara sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata dengan pembukaan MRT fasa kedua laluan berkenaan, pelajar dan warga 40 sekolah dan institusi pendidikan akan dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.

"Pembukaan MRT Fasa Dua ini adalah bukti bahawa komitmen kerajaan dalam menunaikan janji kepada rakyat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

MRT Fasa kedua laluan SBK antara Kajang dan Muzium Negara melibatkan 19 stesen itu dijadual dirasmikan perdana menteri pada Isnin.

Fasa pertama laluan berkenaan antara Sungai Buloh dan Semantan yang mempunyai 12 stesen mula beroperasi pada 16 Disember tahun lalu dengan purata 15,000 penumpang sehari.

Nancy menarik perhatian bahawa pelaksanaan projek MRT secara keseluruhan adalah bukti komitmen kerajaan ke arah aspirasi menjadikan sistem pengangkutan awam darat lebih inklusif.

"Kita mahu melihat sistem pengangkutan awam darat pada masa hadapan menjadi lebih inklusif dan disesuaikan dengan lebih baik untuk memenuhi keperluan golongan keperluan tertentu seperti orang kelainan upaya, keluarga yang mempunyai anak-anak kecil dan warga emas," katanya. - BERNAMA