24
Isn, Jul
659 ARTIKEL BARU

MH17 : Malaysia Tekad Dapatkan Keadilan Untuk Mangsa

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Malaysia tekad dalam usahanya mendapatkan keadilan untuk mangsa Penerbangan MH17 Malaysia Airlines dan berusaha mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap tragedi malang itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerajaan Malaysia bersama-sama dengan rakan-rakan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) tetap dengan komitmen mereka untuk mendapatkan keadilan dengan mendakwa pelaku yang bertanggungjawab melakukan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

“Dalam hal ini, kami menyambut baik keputusan bersama yang dicapai JIT untuk melaksanakan pendakwaan peringkat kebangsaan di Belanda sebagai proses berkesan bagi memastikan akauntabiliti yang mematuhi standard tertinggi antarabangsa.

“Kami juga sukacita mendapat tahu bahawa Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda akan membuat keputusan yang perlu mengenai pendakwaan dalam masa sewajarnya memandangkan siasatan jenayah itu masih dijalankan,” katanya sempena memperingati ulang tahun ke-3 insiden MH17 malam tadi.

JIT dianggotai oleh Malaysia, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru. Mangsa terdiri daripada rakyat Belanda, Malaysia, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Mengenai insiden malang itu, Liow berkata tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan, kesakitan dan kesedihan yang dialami keluarga dan orang tersayang kepada mereka yang terbabit dalam kejadian tragis itu tiga tahun lepas.

“Tiga tahun mungkin berlalu, tetapi kenangan mengenai penumpang dan kru pesawat itu akan sentiasa bersama-sama dengan kita, dan mereka akan terus diingati dengan penuh rasa kasih dan sayang. Sepuluh negara kehilangan rakyat mereka dalam tragedi ini.

“Hari ini, sebenarnya, adalah hari yang amat menyedihkan bagi kita semua. Bagaimanapun, dalam masa-masa yang sukar ini, kita mesti mengukuhkan solidariti dan perpaduan sesama kita dalam memperingati tragedi MH17,” katanya.

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada JIT dan negara-negara lain serta pelbagai organisasi yang telah membantu Malaysia semasa melalui tempoh mencabar itu. - BERNAMA