23
Kha, Nov
918 ARTIKEL BARU

Kementerian Rancang Kursus Pemandu Pelancong Untuk Pemandu Teksi

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bercadang mengadakan kursus percuma untuk pemandu teksi yang berminat mempelajari kemahiran sebagai pemandu pelancong.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini bagi memberi peluang kepada pemandu teksi mempelbagaikan peranan mereka termasuk membantu promosikan destinasi pelancongan popular setempat.

"Ada pelancong yang lebih suka menaiki teksi jika mahu ke mana-mana destinasi. Kalau mereka (pemandu teksi) boleh sewakan perkhidmatannya kepada pelancong ini dan mempunyai kemahiran dalam menjadi pemandu pelancong, ini memberikan nilai tambah kepada pemandu teksi itu sendiri.

"Bagaimanapun, ia bersifat sukarela sahaja dan saya percaya ia akan menguntungkan pemandu teksi tradisional juga," katanya dalam sidang media selepas melancarkan 'EzCab', aplikasi e-hailing pertama di Malaysia yang menyediakan butang SOS untuk keselamatan pengguna teksi, di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata cadangan itu akan dibawa ke kabinet jika menerima respons positif daripada pemandu teksi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EzCab Raymond Yap Biow Seng berkata aplikasi tersebut dilengkapi tiga butang panggilan kecemasan iaitu talian kecemasan 999, pusat perkhidmatan 24 jam EzCab SOS, dan panggilan terus ke nombor kenalan yang dimasukkan ketika mendaftar di EzCab.

"Butang ini juga dilengkapi dengan sistem GPS (sistem kedudukan sejagat) yang membantu kami mengesan lokasi teksi jika berlaku kecemasan sama ada kepada penumpang atau pemandu teksi, bagi membolehkan penghantaran bantuan," katanya.

Raymond berkata pihaknya akan membuat pemantauan selama sebulan terhadap pemandu teksi yang berdaftar di bawah aplikasi itu dan akan mengambil langkah sewajarnya jika pemandu didapati melakukan kesalahan.

Perkhidmatan EzCab yang ditawarkan di Lembah Klang, Seremban, Johor Bahru, Sabah dan tidak lama lagi, Pulau Pinang dan Melaka kini disertai lebih 2, 500 pemandu teksi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

 

- BERNAMA

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.