24
Isn, Jul
661 ARTIKEL BARU

Lebih 200 Kes Pemerdagangan Orang Ke Mahkamah Setakat Jun - Ahmad Zahid

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Sebanyak 254 kes pemerdagangan orang telah didakwa di mahkamah sehingga Jun lepas dengan 67 sabitan berjaya diperolehi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata daripada keseluruhan sabitan itu, 43 melibatkan kesalahan pemerdagangan orang dan 24 kesalahan lain berunsur pemerdagangan orang.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei 2017, jumlah tangkapan yang direkodkan adalah sebanyak 363," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di Perdana Putra, di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdir.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan dana berjumlah RM1.38 juta kepada Pusat Kebajikan Good Shepherd dan Tenaganita Sdn. Bhd. sebagai projek rintis pengurusan mangsa pemerdagangan orang.

Ahmad Zahid berkata kerajaan telah mengisytiharkan tiga buah rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang untuk menjayakan kolaborasi antara kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan melihat penglibatan NGO dalam pengurusan mangsa pemerdagangan orang sebagai satu perkembangan yang positif dan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa dapat terus terpelihara dan tanggungjawab dapat dikongsi bersama," katanya, serta menambah ia selaras dengan komitmen negara bagi melaksanakan pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang berkuat kuasa sepenuhnya pada November 2015.

Timbalan perdana menteri berkata mesyuarat itu tertumpu kepada pencapaian negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai pemerdagangan orang serta langkah-langkah penambahbaikan bagi penilaian tahun yang akan datang.

Katanya laporan JNAS yang dikeluarkan pada 27 Jun lepas meletakkan Malaysia di Tahap 2 iaitu kedudukan lebih baik berbanding Tahap 2 (Pemerhatian) pada 2016.

Ahmad Zahid berkata Malaysia berada pada kedudukan Tahap 2 (Pemerhatian) selama lapan kali kerana tidak menunjukkan peningkatan yang ketara dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya.

Namun kedudukan negara melonjak ke Tahap 2 pada tahun ini adalah kerana telah melaksanakan usaha-usaha signifikan untuk mematuhi United Nations Convention against Transnational Organised Crime (UNTOC) dan Trafficking Victim Protection Act 2000 (TVPA), katanya.

"Ini merupakan hasil komitmen tinggi dan usaha konsisten yang ditunjukkan oleh ahli HLC MAPO dalam peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang termasuk beberapa penambahbaikan dalam aspek perlindungan mangsa," katanya.

Beliau berkata Malaysia yakin akan terus mengekalkan kedudukan dalam penilaian tahun mendatang, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat bagi menambah baik pencegahan, pendakwaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai hari kesedaran jenayah pemerdagangan orang atau World Day Against Trafficking in Persons yang akan diadakan pada 30 Julai setiap tahun sebagaimana terkandung dalam resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2013.

Ahmad Zahid berkata sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah pemerdagangan orang serta perlindungan kepada mangsa.

Sehubungan itu, katanya, satu program kerjasama kerajaan dan NGO akan diadakan pada 30 Julai di Subang Hi-Tech Industrial Park.

Pertandingan membangunkan prototaip aplikasi berkaitan pemerdagangan orang dan pengenalan talian aduan pemerdagangan orang dengan kerjasama Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) iaitu 03-8000 8000 merupakan antara acara yang akan berlangsung pada hari tersebut, katanya.

 

- BERNAMA