25
Isn, Sep
686 ARTIKEL BARU

Tangkapan, Dakwaan Berterusan Beri Imej Baharu Pada SPRM - TPM

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Tangkapan dan pendakwaan berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelaku rasuah telah memberi imej baharu yang baik kepada suruhanjaya itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan tegas tanpa mengira kedudukan seseorang suspek juga membuktikan tiada lagi istilah 'hanya ikan bilis' diambil tindakan dalam gerak kerja bersepadu SPRM di bawah Datuk Dzulkifli Ahmad selaku Ketua Pesuruhjaya.

Di bawah Dzulkifli, katanya, SPRM telah menunjukkan kesungguhan yang cukup tinggi dalam membanteras rasuah di mana 'ikan paus' yang kononnya sentiasa terlepas turut sama terperangkap di dalam jaring yang didakwa hanya untuk tangkapan ikan bilis'.

"Mungkin selama ini ada tindakan daripada mereka tetapi masyarakat beranggapan bahawa yang dimangsakan oleh SPRM atau sebelum itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) hanya ikan bilis dan beranggapan jaring yang digunakan tidak cukup kuat untuk menangkap ikan paus.

"Tetapi kini, saya perlu ucap tahniah kepada SPRM kerana mutakhir ini ikan paus juga telah masuk dalam jaring pembanterasan rasuah oleh SPRM, " katanya ketika berucap pada majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen Malaysia-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini Selasa.

Hadir sama pada majlis IBR yang turut disaksikan secara serentak oleh semua pejabat JIM dalam dan luar negara melalui sidang video secara langsung itu ialah Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki yang mewakili Dzulkifli.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tindakan komprehensif SPRM itu secara tidak langsung telah mengembalikan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan rakyat kepada kerajaan yang selama ini mungkin terkesan dengan persepsi negatif yang dilemparkan pihak tertentu yang sentiasa mencari aspek negatif agensi atau jabatan tertentu untuk menghakiskan kebolehpercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Beliau menarik perhatian agar kesungguhan SPRM itu tidak menerima nasib sepertimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa dipandang serong dan tidak lepas daripada persepsi negatif walaupun kadar indeks jenayah menurun 47 peratus sejak program transformasi dilaksanakan pada 2009.

"Saya harap perkara sebegitu tidak berlaku kepada SPRM apabila indeks rasuah dapat diturunkan...walaupun sukar saya yakin dengan kerjasama semua pihak termasuk Datuk Azam, perkara itu tidak mustahil untuk dicapai," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata penangkapan yang dilakukan, terutama ke atas penjawat awam bukan untuk menunjukkan SPRM bertindak keras atau tanpa belas kasihan terhadap kumpulan itu.

 

Beliau berkata sebagai nadi penggerak kepada negara, sistem penyampaian dan urus tadbir perlu dilakukan dengan integriti yang tinggi dan atas sebab itu, penjawat awam tidak boleh dibiarkan terpalit dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa ketika menunaikan tanggungjawab. -- BERNAMA