17
Kha, Ogs
845 ARTIKEL BARU

1MDB Komited Laksana Tanggungjawab – Khalid

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih tetap menguruskan hutang dan komitmen kewangan apabila membuat pembayaran lebih AS$10 bilion bersama bayaran faedah di belakang modal ekuiti RM10 juta.

Bekas Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walau bagaimanapun, kemelut isu membabitkan syarikat pelaburan negara itu telah menjadi mangsa drama politik di samping penyebaran fakta-fakta dan maklumat salah terutama melalui media-media sosial.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian sekali gus memberi gambaran bahawa 1MDB berada dalam ke­pincangan dan digunakan untuk membiayai aktiviti politik.

“Dalam perbincangan antara Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda kelmarin bersama para pemimpin Pas, beliau telah memberikan taklimat kepada kami mengenai kedudukan semasa 1MDB yang kini dalam pelan penstrukturan semula.

“Kesimpulannya, nilai semasa bersih aset yang dimiliki oleh 1MDB masih mampu memberi perkhidmatan kepada liabiliti semasa dan masa hadapan,” katanya seperti dipetik menerusi portal berita, malaysia-today.net, hari ini.

Abdul Khalid berkata, bagi mengelak komplikasi dalam pe­ngurusan aset-aset mereka pada masa depan, ia perlu dipindahkan ke Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) sebagai pemilik sebagaimana dalam rancangan pelan penstrukturan semula itu.

Jelasnya, 1MDB boleh membuat pembayaran hutang yang sewajarnya apabila pendapatan dan keuntungan daripada transaksi aset oleh MOF Inc. mengalir ke 1MDB.

“Pengurusan penstruk­turan semula 1MDB mesti memastikan nilai semasa bersih semasa aset terus dikekalkan supaya tidak ada gangguan dalam membayar hutang dan komitmen. Memandangkan senario ini, penyusunan semula itu adalah dalam kemajuan baik.

“Seperti yang dijelaskan oleh Arul, menjelang akhir tahun ini, selepas penguatkuasaan transaksi aset dan penyelenggaraan komitmen hutang, 1MDB bersedia untuk diubah menjadi entiti baharu atau dibubarkan. Ini akan menamatkan era entiti pelaburan yang keliru,” katanya.

 

Utusan