13
Rab, Dis
893 ARTIKEL BARU

Lebih 40, 000 ‘Serbu’ Dataran Putra Sempena #DoaUntukMalaysia

Semasa
Typography

PUTRAJAYA – Lebih 40,000 pengunjung membanjiri Dataran Putra, Presint 1 di sini bagi memanjatkan rasa syukur dan kepujian buat yang Maha Esa melalui Program Doa Untuk Malaysia 2017 sehingga jam 9.00 malam.

Menurut tinjauan petugas KLXpress, Masjid Putra yang terletak berhadapan dengan dataran di mana berlangsungnya program tersebut diadakan mampu menampung sehingga 10,000 jemaah padat dengan pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bersama – sama mendirikan solat Maghrib secara berjemaah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang tiba kira – kira jam 7.45 petang turut bersama – sama berjemaah mendirikan solat Maghrib yang diimamkan oleh Imam Besar Majid Putra sendiri sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan turut bersama - sama usai solat Isyak.

Petugas KLXpress juga sempat menemu ramah pengunjung yang hadir yang rata – rata begitu teruja untuk menghadiri program kerohanian sebegini yang disifatkan sebagai sebuah program yang berupaya menyatukan umat Islam disamping sarat dengan perkara – perkara kerohanian yang penuh informasi.

Seorang pengunjung, Mohd Amir Hadi, yang datang dari Setia Alam, Selangor berkata beliau serta para pelajarnya begitu teruja untuk bersama – sama berhibur dalam majlis keagamaan ini.

“Bagi saya program ini sangat bagus kerana disamping kita dapat bersama – sama berzikir dan beramal, kita juga dapat melihat penyatuan umat Islam bagi mengucapkan syukur kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Bagi Siti Hajar Ishak, sebagai golongan belia, program seumpama ini merupakan salah satu program yang ditunggu – tunggu di samping penganjuran konsert yang adakalanya boleh melalaikan golongan muda.

“Ianya bagus kerana golongan muda kini lebih cenderung kepada hiburan berbentuk konsert, jadi dengan penganjuran program seperti ini, ia secara tidak langsung dapat mendekatkan kita dengan Pencipta,” katanya.

Tambah Hanis Adlina, program seumpama ini mampu memberi kesedaran kepada golongan muda khususnya yang mudah terleka dengan hiburan dunia.

Rata – rata pengunjung turut berpendapat, program seumpama ini wajar dan harus diteruskan bagi tahun – tahun yang akan datang.

Program anjuran bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan serta agensi kerajaan, Stesen Televisyen dan Radioo Malaysia (RTM), Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Perbadanan Putrajaya ini diadakan bersempenan dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa.