20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Kemangkatan Sultan Kedah Mengejutkan - MB

Semasa
Typography

ALOR SETAR – Kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah disifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai sesuatu yang mengejutkan.

 

Katanya, beliau ada mengadap baginda beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan haji pada 26 Ogos lalu bagi menyatakan pemergiannya ke Mekah.

“Ketika itu, Tuanku Abdul Halim sendiri menyatakan yang baginda sihat malah turut menyatakan hasrat untuk bercuti ke Langkawi.

“Di depan Kaabah dan di Masjid Nabawi, saya sering mendoakan kesihatan tuanku dan memohon semoga tuanku dipanjangkan usia. Namun kehendak Allah SWT mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Menurutnya lagi, beliau menerima berita mengenai kemangkatan Almarhum sebaik sahaja keluar dari kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) kira-kira pukul 2.30 petang.

“Saya baru pulang dari menunaikan haji hari ini dan sebaik saja menjejakkan kaki ke bumi Kedah, saya diberitahu mengenai kemangkatan tuanku oleh Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Armishah Siraj. Sudah tentu, saya berasa sedih mengenangkan tuanku,” katanya sebak.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu Tuanku Abdul Halim yang dikenalinya sejak sekian lama merupakan sultan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

‘‘Terlalu banyak kenangan bersama tuanku yang tak mungkin dapat saya lupakan termasuk ketika mengiringi tuanku bercuti di dalam dan luar negara. Tuanku sebenarnya seorang yang cukup bersahaja dan mudah didekati.

‘‘Kalau istiadat rasmi, memanglah kita perlu mengikut protokol tetapi kalau dalam keadaan bercuti dan santai, tuanku mudah mengajak orang sekeliling bersembang secara santai dan secara peribadi saya merasakan takkan ada sesiapa yang mampu menjadi seperti baginda,’’ katanya.