13
Rab, Dis
893 ARTIKEL BARU

Wanita Perlu Kuasai Aspek Digital Demi Pembangunan Ekonomi Negara

Semasa
Typography

IPOH - Golongan wanita perlu menguasai aspek digital bersesuaian dengan Revolusi Industri 4.0 bagi memastikan mereka kekal relevan dan terus memberi sumbangan kepada pembangunan negara terutama dalam bidang ekonomi.

Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata wanita perlu berani menembusi dan menceburi sektor digital seiring dengan kemajuan teknologi pada masa ini.

"Wanita perlu menghadapi perubahan dalam cara bekerja seiring dengan perubahan digital dan ekosistem. Wanita kini dilihat telah bekerja secara dalam talian dan lebih (bekerja) dalam bidang kemahiran.

"Naluri wanita boleh membawanya ke satu tahap yang tinggi dengan era digital adalah era untuk wanita, dan sekiranya mereka diberi peluang menguasai era itu pastinya mereka akan lakukannya dengan cemerlang," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada sesi dialog mengenai pemantapan wanita dalam bidang ekonomi sempena Dialog Pangkor (PIDD) 2017 di sini, pada Isnin.

PIDD 2017 bertemakan 'Memacu Masa Hadapan: Landaan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan', yang dianjurkan Institut Darul Ridzuan (IDR), berlangsung dua hari mulai hari ini.

Pada sesi dialog itu, Shahrizat berkata wanita perlu memantapkan diri mereka agar mampu memperoleh kewangan sendiri.

"Wanita menjalankan pelbagai tugas iaitu sebagai anak, isteri, ibu dan lain-lain dan mereka memerlukan eknonomi yang mantap, Jadi, kita (kerajaan) juga memperinci keperluan wanita dan peluang yang perlu diberikan kepada mereka terutama dalam bidang ekonomi.

"Tanpa wanita, negara tidak akan maju kerana golongan itu pada masa ini juga banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan pekerjaan yang dilakukannya mesti la pekerjaan yang mesra wanita," katanya.

Mengenai Dialog Pangkor kali keempat itu, Shahrizat berkata program berkenaan memberi impak berkesan kepada pembangunan negara kerana ia menjemput anggota-anggota panel yang hebat termasuk angkasawan wanita dari Amerika Syarikat, Dr Catherine Cady Coleman.

 

- BERNAMA