20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Undangan ke AS Bukti Malaysia ‘Bintang Bersinar’, kata Najib

Semasa
Typography

WASHINGTON - Malaysia bukan negara gagal, sebaliknya sebuah bintang yang bersinar untuk menjadi negara lebih maju dan berjaya, malah kejayaan yang dinikmati sekarang akan dipertingkat dan tumbuh untuk menjadi antara 20 negara maju pada tahun 2050.

Memetik laporan media tempatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata perkara itu akan dimaklumkan dalam pertemuannya dengan Presiden Donald Trump pagi esok waktu tempatan.

"Kita mahu membawa Malaysia sebagai negara peneraju dan berjaya di dunia.

"Kita mahu terus berkembang untuk generasi akan datang. Jadi lebih kuat, membangun dan menjanjikan kegemilangan kepada generasi muda," katanya dalam majlis makan malam bersama pelajar dan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Duta Besar Malaysia di AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut dilaporkan, Najib dipetik sebagai berkata lawatannya atas jemputan Trump sangat signifikan kepada Malaysia dan beliau akan mempersembahkan peluang baharu kepada Presiden Amerika Syarikat itu untuk manfaat bersama.

Jelas Najib, AS adalah rakan penting Malaysia sejak 60 tahun lalu dan semakin kukuh dari semasa ke semasa walaupun pemimpinnya silih berganti.

"Lawatan ini dapat menunjukkan Malaysia penting kepada AS. Kita datang ke sini untuk membawa cadangan dan peluang baharu.

"Kita datang sebagai bintang yang bersinar, negara yang berjaya dan akan terus tumbuh," katanya.

Selain itu, kedua-dua negara boleh bersama membanteras keganasan serta memberi gambaran sebenar mengenai ajaran Islam.

 

Kredit foto : BERNAMA