20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Tunku Sallehuddin Diisytihar Sultan Kedah Baharu

Semasa
Typography

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah baharu di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini.

Pengisytiharan itu dibuat setelah kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit pukul 2.30 petang semalam.

Pengumuman pengisytiharan pelantikan itu dilakukan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sejurus sebelum jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim dibawa keluar untuk istiadat pemakaman.

Pemilihan raja pemerintah baharu ditentukan menerusi Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja setelah kemangkatan Sultan Kedah.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Tunku Sallehuddin, 75, adalah juga adinda Tuanku Abdul Halim.

Jawatan Raja Muda Kedah sekarang dipegang oleh Tunku Sallehuddin yang dimasyhurkan pada 15 Disember 2016.

Tunku Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Tengku Maliha Tengku Ariff.

Mereka dikurniakan dua putera.

Baginda diisytihar sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Disember 2016.

Jemaah Pemangku terbubar secara sendiri apabila Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

 

Berperwatakan lembut namun tegas, Tunku Sallehuddin merupakan anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri Sultan Kedah ke-26, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah, yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.