20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

SPRM Isytihar Perang Terhadap Judi Haram

Semasa
Typography

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengisytiharkan "perang" terhadap premis dan aktiviti judi haram yang dikaitkan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata badan pencegahan rasuah itu akan mengambil tindakan terhadap pegawai penguatkuasa yang memberi perlindungan kepada sindiket aktiviti judi haram dan juga pengusaha premis yang menawarkan rasuah kepada pihak penguatkuasaan.

"Isu judi haram bukan isu baharu. Sudah tiba masanya SPRM mengambil tindakan khusus dan lebih agresif dalam memerangi aktiviti judi haram di negara ini," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Dzulkifli mengadakan perjumpaan dan sesi dialog dengan Gerakan Banteras Aktiviti Haram (GBAH) yang diwakili beberapa gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Selain itu, Pengerusi GBAH Masridzi Sat menyerahkan satu memorandum sokongan kerjasama kepada Dzulkifli bagi menzahirkan sokongan padu kepada usaha SPRM dalam membanteras gejala rasuah di negara ini.

Dzulkifli berkata penguatkuasaan yang longgar merupakan antara faktor rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam usaha kerajaan memerangi judi haram.

"SPRM akan memberi fokus dalam menangani judi haram kerana ia memberi implikasi dan kesan negatif. Selain itu, majoriti mereka yang terlibat dalam aktiviti judi haram adalah orang Islam," katanya.

Dzulkifli berkata SPRM akan meniliti setiap maklumat yang akan diterima berhubung aktiviti judi haram dan tindakan sewajarnya akan diambil dalam usaha memerangi judi haram di negara ini.

Mei lepas, beberapa anggota dan pegawai polis, termasuk dua Ketua Polis Daerah di Melaka ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kegiatan mengutip wang perlindungan daripada pengusaha judi haram dan rumah urut di Melaka.

 

-BERNAMA