20
Rab, Sep
664 ARTIKEL BARU

Demokrasi Subur Di Malaysia Di Bawah Kepimpinan Saya - Najib

Semasa
Typography

WASHINGTON DC - Datuk Seri Najib Razak berkata demokrasi hidup subur di Malaysia dan negara tidak berada dalam bahaya untuk terjerumus ke pemerintahan diktator.

"Itu benar-benar tidak masuk akal," katanya kepada kumpulan pemikir Amerika yang berpangkalan di Wahington DC, merujuk kepada tanggapan salah yang disebarkan tentang Malaysia.

Di bawah kepimpinannya, perdana menteri berkata demokrasi terus subur dan malah lebih utuh.

"Namun, adalah benar bahawa seorang pemimpin pembangkang Malaysia telah mengakui yang beliau ialah seorang 'diktator' semasa beliau berkuasa.

"Semasa beliau menjadi perdana menteri, ratusan orang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akhbar termasuk akhbar harian utama, ditutup," katanya.

Najib, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari di Amerika Syarikat berkata demikian dalam ucaptama di majlis makan tengah hari dianjurkan Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa Amerika Syarikat (CSIS) di Washington DC  pada hari Rabu.

Najib berkata pada era itu, badan kehakiman telah dikawal, kapitalisme kroni berleluasa, dengan urus niaga yang dibuat telah membebankan rakyat biasa Malaysia sehingga hari ini.

Rakyat tiada hak untuk berdemonstrasi dan penuntut tidak dibenarkan menyertai politik, katanya tentang keadaan pada ketika itu.

"Tetapi demokrasi di Malaysia terus hidup dan di bawah pentadbiran saya ia diperkukuhkan. Kami memansuhkan ISA dan menamatkan Darurat yang telah wujud lebih 60 tahun," katanya.

Diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi lawatan kerja itu, Najib yang berada di Wahington DC atas undangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Amerika itu di Rumah Putih pada hari Selasa.

Najib turut menyatakan sekatan terhadap kebebasan media juga telah ditarik balik dan mahasiswa kini boleh mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

"Demonstrasi besar-besaran yang tidak dibenarkan di bawah bekas pemimpin itu, telah dianjurkan di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lepas,” katanya kepada hadirin.

Najib turut menafikan bahawa kerajaan memenjarakan pengkritiknya.

Beliau menjelaskan bahawa badan kehakiman Malaysia adalah bebas, dengan menteri dan ketua menteri sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang telah didakwa di mahkamah.

"Jika seorang ahli politik pembangkang melanggar undang-undang, beliau akan ditahan, ya. Tetapi bukan kerana mengkritik. Tidak, penahanannya kerana melanggar undang-undang – yang sebenarnya adalah norma di kebanyakan negara, dan rakyat Malaysia dan Amerika akan berasa bimbang jika sebaliknya," katanya.

Najib turut berkongsi dengan hadirin bahawa pilihan raya di Malaysia menyaksikan pertandingan sengit, dengan menteri kabinet dan ahli politik terkemuka pernah kalah dalam pilihan raya.

"Saya sendiri hanya sekadar dapat mengekalkan kerusi Parlimen saya pada 1999," kata perdana menteri, merujuk kepada majoriti tipis 241 undi diperolehnya untuk kekal sebagai anggota Parlimen Pekan.

Najib turut membidas seorang ahli akademik terkemuka yang menurutnya, sejak kembali ke tanah air dan dilantik pemegang kursi dibiayai Yayasan Noah yang ditubuhkan oleh datuknya, telah menggunakan setiap peluang untuk "menyerang saya dan dasar-dasar saya".

"Beliau bebas untuk berbuat demikian, begitu juga lain-lainnya - betapa pun saya dan rakan-rakan saya mungkin fikir yang mereka salah. Kenapa? Kerana itu yang kami percaya dan kami mengamalkan kebebasan bersuara di Malaysia," katanya.

Berhubung nasib kaum Rohingya yang ditindas di Myanmar, Najib berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dalam pertemuannya dengan Trump di Rumah Putih.

Perdana menteri berkata beliau gembira kerana presiden turut berkongsi kebimbangannya itu dan percaya Amerika Syarikat akan turut menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap mangsa kekejaman itu.

Katanya beliau telah sejak sekian lama menzahirkan kebimbangan berhubung isu Rohingya dan percaya dunia bersatu dan terkejut dengan kekejaman terbaru yang dilakukan terhadap etnik itu.

 

Beliau berkata keganasan itu berpotensi mencetuskan tindakan radikal dalam kalangan golongan muda yang terdesak dan marah dengan layanan buruk terhadap mereka. - BERNAMA