17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

Kerajaan Sentiasa Komited Martabat Pendidikan Islam – Asyraf Wajdi

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memastikan komitmen padu diberikan terhadap agenda memartabatkan pendidikan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam Agama Negara. 

Justeru pada tahun ini sahaja menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagi Bajet 2017, sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan kepada 819 Sekolah Pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Institusi Tahfiz Berdaftar.

Agihan RM50 juta ujar beliau telah diperuntukkan kepada Sekolah Pondok dan SMAR di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah manakala RM30 juta lagi diagihkan kepada pusat-pusat tahfiz dan pondok agama bagi tujuan membangunkan pendidikan tahfiz seperti menaik taraf prasarana dan infrastruktur masing-masing agar menepati piawai keselamatan yang ditetapkan.

“Bagi pusat tahfiz, peruntukan ini disalurkan kepada seluruh negeri  berdasarkan jumlah sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan atau Majlis Agama Negeri (JAIN/MAIN) di setiap negeri. Kemudiannya JAIN/MAIN yang berkaitan akan mengagihkan jumlah sewajarnya mengikut pelajar di setiap sekolah. Setiap agihan akan disalurkan secara terus kepada akaun pusat tahfiz berkenaan. 

“Peruntukan di atas tidak termasuk institusi-institusi agama yang sememangnya di bawah tanggungan Kerajaan khususnya di bawah pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia. Setiap tahun Kerajaan membelanjakan tidak kurang RM 980 juta setahun untuk membiayai gaji dan emolumen hampir 59,000 guru-guru agama dan hampir 500 sekolah-sekolah agama termasuk sekolah aliran tahfiz dan ulul albab,” katanya.

Menurut Asyraf lagi, peruntukan ini juga tidak termasuk sekolah-sekolah di bawah MARA seperti MRSM Ulul Albab aliran Tahfiz dan sekolah-sekolah agama yang ditanggung khusus oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). 

JAKIM sendiri katanya mendapat peruntukan hampir RM500 juta setahun untuk menanggung elaun 33,000 Guru-Guru Kelas Fardhu Ain, 3,950 Guru-Guru Takmir dan 14,254 para Imam seluruh Malaysia.

“Kerajaan juga mempunyai Insitusi Darul Quran JAKIM yang telah melahirkan 6,472 orang graduan yang ada dikalangannya adalah 'Hafiz Profesional' yang berkelulusan Doktor, Akauntan, Jurutera dan Pentadbir Kerajaan melalui program kerjasama dengan universiti-universiti tempatan. 

“Komitmen besar kewangan kerajaan melebihi RM1 Billion  setahun juga turut disalurkan kepada insitusi-institusi Pengajian Tinggi berorientasikan Islam seperti UIAM, USIM, UNISZA, AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UM, FAKULTI PENGAJIAN ISLAM UKM dan program-program agama di semua universiti awam dalam negara.

“Terkini di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan 125,000 'Huffaz Profesional' menjelang 2050 di bawah gagasan TN50,” katanya lagi.

Selain itu katanya, asas utama yang harus diketahui bahawa tanggungjawab pentadbiran agama Islam termasuk hal yang menyentuh sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz adalah di bawah kuasa negeri-negeri. Justeru, pendaftaran pusat tahfiz adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri. 

Berdasarkan penyelarasan data yang dibuat JAKIM di peringkat persekutuan, sehingga kini terdapat 20 buah sekolah tahfiz milik Kerajaan Negeri dengan 4,643 murid dan 618 buah sekolah tahfiz swasta berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dengan 37,902 murid.

“Perkembangan mutakhir menuntut kepada penubuhan Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (yang akan bersidang Selasa ini). 

“Penubuhan Jawatankuasa ini adalah suatu inisiatif berkesinambungan untuk memastikan operasi institusi-institusi pendidikan agama dapat berjalan dengan lebih teratur dan tersusun termasuk penekanan aspek keselamatan, kebajikan dan kualiti pembelajaran pusat-pusat tahfiz dengan penggemblengan usahasama antara agensi-agensi Persekutuan dan Negeri.

“Hakikatnya pertumbuhan sekolah-sekolah agama dan tahfiz yang bagaikan cendawan selepas hujan adalah sesuatu yang perlu ditangani secara komprehensif khususnya bagi memastikan kualiti pendidikan tahfiz negara yang sebenar terjamin. 

“Ini termasuklah kerjasama masyarakat agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama dan pusat-pusat tahfiz yang tidak berdaftar. Moga-moga tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah menjadi pencetus kepada kerjasama utuh antara pelbagai pihak termasuk Agensi-agensi Persekutuan dan Negeri serta anggota masyarakat bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tragedi  kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittafiqiyah telah mengundang pelbagai spekulasi dan polemik.