17
Sel, Okt
757 ARTIKEL BARU

2,010 Unit Rumah Transit Belia Akan Dibina - Najib

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan 2,010 unit Perumahan Transit Belia di mukim Batu yang dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Menurut beliau, pembinaan projek perumahan itu merupakan antara janji yang dikotakan kerajaan sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2017, tahun lalu.

Kadar sewa yang ditawarkan untuk projek perumahan itu katanya ialah 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Untuk sebuah rumah studio satu bilik berkeluasan 400 kaki persegi, kadar sewanya ialah RM400 manakala untuk rumah studio dua bilik berkeluasan 550 kaki persegi pula sebanyak RM550.

“Apa yang unik ialah konsep sewa sambil menabung diperkenalkan. Bermakna kalau mereka sewa RM400, RM250 akan dimasukkan dalam tabung dan apabila cukup lima tahun, mereka akan mempunyai RM15,000 yang boleh digunakan sebagai deposit beli kediaman baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman dan pelancaran Perumahan Transit Belia di Kepong.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.