17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Dobi Muslim : Raja – Raja Melayu Hargai Pendirian Tegas Sultan Johor, Raja Muda Perlis

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Raja – raja Melayu hari ini menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Sultan Johor berhubung isu ‘dobi Muslim saja’ di negeri Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,  serta pendirian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kes yang serupa di negeri berkenaan.

Menurut satu Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja, Tan Sri Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, pendirian kedua – dua Sultan dan Raja Muda Perlis itu mencerminkan keprihatinan tentang peri pentingnya umat Islam dalam mengamalkan sikap toleran, sederhana dan inklusif di dalam negara yang terdiri dari masyarakat pelbagai lapisan kaum, agama dan budaya.

“Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen penting dalam memastikan kestabilan Malaysia. Setelah enam puluh tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai – nilai kemasyarakatan dan bernegara berpandukan prinsip – prinsip yang termaktub di dalam perlembagaan serta didukung oleh semangat yang terkangdung di dalam Rukun Negara,” ujar beliau menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, raja – raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat berbilang agama dan kaum di negara, justeru rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip – prinsip utama terkandung dalam Perlembagaan Negara yang digubal berdasarkan persefahaman bahawa negara ini adalah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Tambah Syed Danial,  tindakan – tindakan oleh sebarang individu tertentu yang bersifat keterlaluan, membimbangkan boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Raja-raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

 

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan – tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” ujarnya.