17
Sel, Okt
760 ARTIKEL BARU

Tiada Siapa Boleh Nafikan Kejayaan Malaysia - Pakar Ekonomi

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR – Tiada siapa yang boleh menafikan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun, ujar Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Nor Azlan Ghazali.

Ini katanya terbukti berdasarkan kepada urus tadbir ekonomi yang baik oleh kerajaan dalam tempoh 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan.

“Bila kita nak mengutarakan pandangan tentang ekonomi negara, kita tengok dulu prestasi jangka panjang. Contohnya kalau kita tengok orang itu sudah memandu 30 tahun dia accident kecil sahaja sekali terus kita kata dia bukan pemandu yang baik. Tak boleh juga. Kadang-kadang accident itu juga disebabkan oleh orang lain.

“Secara umumnya kita boleh lihat dalam jangka masa panjang. Adakah negara ini dalam konteks ekonomi telah membangun dan apa prestasinya? Itu yang pertama sekali yang kita kena pegang.

“Malaysia bermula sebagai sebuah negara yang miskin. Hampir 49 peratus penduduk Malaysia di awal kemerdekaan hingga 70an berada di bawah garis kemiskinan. Itu bagaimana Malaysia bermula. Pendapatan per kapita kita pada ketika itu lebih kurang US$400 sahaja. Kemiskinan berleluasa.

“Jadi setelah 60 tahun merdeka, kita buat perbandingan. Di mana Malaysia hari ini? Dalam konteks pendapatan, hari ini sudah hampir-hampir mencecah US$11 ribu per kapita. Dalam erti kata lain, dalam perbandingan ekonomi dunia Malaysia berada di tahap pendapatan menengah atas,” katanya yang pakar dalam bidang ekonomi.

Jelas beliau, kedudukan tersebut menjadikan Malaysia hanya selangkah lagi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Namun begitu katanya, kebanyakan orang mempunyai tanggapan yang salah di dalam mendefinisikan negara berpendapatan tinggi iaitu untuk mencapai tahap tersebut bermakna tiada lagi orang miskin.

Ini katanya adalah salah faham.

“Kita secara negara akan mencapai selangkah lagi ke arah negara berpendapatan tinggi. Yang ini tidak boleh dinafikan.

“Tetapi jangan pula kita salah faham, negara berpendapatan tinggi tidak bererti tidak ada orang miskin. Amerika Syarikat contohnya, Jepun, Korea, ada (orang miskin). Kalau pergi ke New York banyak orang miskin.

“Adanya orang miskin bukan mengatakan bahawa negara ini tidak membangun,” katanya.

Sebaliknya ujar beliau, salah satu kaedah para ahli ekonomi menilai sesebuah negara adalah menerusi purata pendapatan yang mana Malaysia berada di landasan yang baik.

“Tetapi bila kita menilai negara, cara ahli ekonomi menilai adalah melihat kepada antaranya purata pendapatan. Jadi Malaysia berada pada tahap itu. 60 tahun (merdeka), dan kadar kemiskinan hari ini turun dengan begitu rendah sekali.

“Jadi bererti kalau kita tengok dalam konteks ini sahaja, di mana sahaja di dunia orang akan melihat ini adalah satu kejayaan bagi sebuah negara. Dalam tempoh 60 tahun boleh mencapai tahap pendapatan yang tinggi, boleh mengurangkan kemiskinan dan dalam masa yang sama pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang boleh dikatakan begitu baik. Tiada siapa boleh nafikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual ekslusif dengan wartawan KLXPRESS baru-baru ini di pejabatnya.

Selain itu, Nor Azlan turut memuji inisiatif-inisiatif kerajaan di dalam menyediakan peluang-peluang untuk rakyat di negara ini memajukan diri.

“Kalau kita lihat pada peluang-peluang untuk memajukan diri, di Malaysia ini sistem pendidikan kita (contohnya) sekolah, di mana-mana ada sekolah. 

“Kita dapat melihat pembangunan persekolahan, universiti, kemudahan jalanraya, bagi saya tiada siapa boleh nafikan bahawa negara ini sudah membangun dan kita patut berbangga dengan kejayaan ini,” tegasnya.