24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Peluang Malaysia Tarik Pelabur Menerusi FTA Hong Kong-ASEAN

Semasa
Typography

HONG KONG - Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Hong Kong dan ASEAN yang ditandatangani semalam semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Manila, Filipina, akan memberi peluang kepada Malaysia menarik lebih ramai pelabur Hong Kong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi penandatanganan FTA Hong Kong-ASEAN itu, ia bukan sekadar permulaan bagi hubungan perniagaan yang baik, malah menjadikan Hong Kong sebagai hab pengeksportan barangan oleh Malaysia ke tanah besar China, serta kawasan serantaunya.

"Dengan adanya FTA itu, lebih banyak insentif akan diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menggalakkan lebih banyak pelabur Hong Kong untuk melabur di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia sejurus tiba di sini, pada Isnin.

Beliau dijadualkan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia bertema 'Menangani Ketidaktentuan Global: Meneroka Peluang Baharu' malam ini.

Persidangan selama dua hari anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan akademik, serta pemikir.

Menurut Ahmad Zahid, banyak kawasan baharu yang boleh diteroka oleh pelabur berkenaan terutama wilayah pembangunan Perak Selatan yang menjadi tumpuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas.

Beliau berkata, beberapa langkah perlu dilaksanakan oleh Malaysia dan Hong Kong terutama dalam memanfaatkan peluang perdagangan ke negara ASEAN.

"Kita tahu walaupun ada negara yang menjadi tapak pengedaran perkhidmatan dan barangan dari Hong Kong.

"Tetapi, Malaysia boleh memainkan peranan yang lebih penting berbanding sebelum ini memandangkan kemudahan pelabuhan dan juga Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dilancarkan oleh perdana menteri akan menjadikan Malaysia sebagai hab," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Pengasas Alibaba Group, Jack Ma antara yang memanfaatkan Malaysia sebagai hab untuk pemindahan dan pengedaran produk dari beberapa negara ASEAN untuk pasaran dunia keseluruhannya, terutama China.

Beliau berkata, ia sekali gus peluang yang baik bukan hanya untuk syarikat Malaysia sedia ada, malah menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya lebih giat dalam usaha menambah pengeluaran produk dan disalurkan menerusi DFTZ.

"Saya fikir FTA ini cukup penting untuk dimanfaatkan usahawan PKS dalam memperluaskan pasaran produk Malaysia," katanya.

Beliau berkata, langkah itu seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang tidak hanya berasaskan perniagaan konvesional malah perlu kreatif untuk mencipta produk baharu untuk pasaran baharu.

"Kita juga harus mengetahui dari segi pasaran dan pemasaran, kita tidak boleh lagi berada dalam ruang pasaran yang kecil," katanya.

Mengenai pasaran, Ahmad Zahid berkata syarikat Malaysia terutama PKS perlu keluar dari 'marketplace' untuk menuju kepada 'market space' - pasaran maya - yang mempunyai peluang lebih meluas untuk mereka mengedarkan produk menerusi Hong Kong, ditambah pula dengan kerjasama Alibaba Group.

-- BERNAMA

 

 

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.