24
Jum, Nov
946 ARTIKEL BARU

Isu Rohingya : Jakel Sumbang RM1 juta Bantu Pelarian

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Simpati dengan nasib yang dialami etnik Rohingya, gedung tekstil terbesar, Jakel Trading Sdn Bhd, akan menyumbang kira-kira RM1 juta dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan dan kemudahan asas di kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

Bagi melaksanakan misi itu, Jakel menganjurkan Jakel Charity Run For Rohingya 2017 pada 10 Disember depan yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia menyediakan dua kategori larian iaitu 10 kilometer dan lima kilometer, dibahagikan kepada kategori Terbuka Lelaki serta Terbuka Wanita, lapor Berita Harian.

Semua hasil daripada bayaran pendaftaran acara larian itu akan disalurkan 100 peratus kepada pelarian Rohingya.

Larian yang akan disertai 7,000 peserta itu dijangka menyumbang RM400,000 hasil pendaftaran peserta, manakala Jakel menyediakan wang tunai RM200,000 dan sumbangan penaja lain sebanyak RM100,000, bagi menyediakan kemudahan di kem pelarian di Bangladesh.

Selain itu, Jakel turut menyumbang barangan, termasuk 15,000 helai seluar panjang, ubat-ubatan dan tuala wanita bernilai RM300,000.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata pengurusan tertinggi Jakel akan ke Bangladesh untuk menyampaikan bantuan ini secara terus kepada masyarakat Rohingya, pertengahan Januari depan.

Bercakap pada sidang media di Wisma Jakel, hari ini, Mohamed Faroz berkata, wang tunai RM700,000 itu akan digunakan bagi membina kemudahan asas, termasuk telaga, membeli air bersih dan membina tandas di kem pelarian etnik Rohingya itu.

 

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyertai acara larian itu dengan mendaftar di www.racexasia.com. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Disember depan.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.