13
Rab, Dis
895 ARTIKEL BARU

Najib Ucap Tahniah Tiga Saintis Malaysia Menangi Anugerah Berprestij

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada tiga saintis Malaysia yang memenangi anugerah berprestij bersempena Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Ke-17 mengenai Sains dan Teknologi di Myanmar, bulan lepas.

"Rasa amat bangga dengan pengiktirafan Dr Hafizal Mohamad, Dr Leong Wai Yie dan Prof Chong Mei Fong diterima pada Majlis Anugerah Sains dan Teknologi di Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Ke-17 di Myanmar. Teruskan usaha yang cemerlang. Tahniah!," kata beliau dalam catatan di akaun Twitternya, hari ini.

Sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan Dr Hafizal daripada Institut Sistem Mikro Elektronik Malaysia (MIMOS) menerima anugerah ASEAN Outstanding Scientist and Technologist, iaitu sebuah piala dan wang tunai US$10,000 (RM41,800), sementara Leong daripada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman menerima anugerah ASEAN Meritorious Service, yang menawarkan jumlah hadiah yang sama.

 

Laporan itu juga menyatakan Prof Chong yang merupakan penyelidik di Nottingham University (Kampus Malaysia) mendapat tempat kedua anugerah ASEAN-US Prize for Women dan membawa pulang hadiah wang tunai US$5,000 (RM20,900). -- BERNAMA