13
Rab, Dis
895 ARTIKEL BARU

Lebihan Bajet Lapan Tahun Berturut-turut, Johor Umum Bantuan Khas Bagi Penjawat Awam dan Pesara

Semasa
Typography

KOTA ISKANDAR – Pembentangan bajet oleh Kerajaan Negeri Johor menampakkan lebihan bagi tahun kelapan berturut-turut sejak 2011.

Sejumlah lebihan bajet sebanyak RM 1.141 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM1,504.33 juta berbanding anggaran perbelanjaan berjumlah RM 1,503.19 juta telah dibentangkan oleh Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin ketika sesi pembentangan Bajet Johor 2018, hari ini.

“Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM1,503,193 juta yang terdiri daripada RM493,358 juta untuk emolumen dan RM 1,009.385 juta untuk perbelanjaan lain-lain.

“Bagi Perbelanjaan Pembangunan tahun 2018 pula, akan diperuntukkan sebanyak RM700 juta yang akan ditampung melalui Kumpulan Wang Pembangunan, di mana RM610 juta merupakan caruman daripada Akaun Hasil Disatukan, dan baki RM90 juta adalah daripada hasil dan terimaan lain,” ujarnya.

Johor, pada masa yang sama turut mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama bagi pelaburan swasta.

“Untuk setengah tahun pertama 2017, Johor mencatat jumlah pelaburan untuk sektor pembuatan sebanyak RM1.4 bilion, iaitu 8.23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia.

“Ini menjadikan pelaburan terkumpul sejak 2010 sehingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM113 bilion, iaitu yang tertinggi di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Dua lagi sektor utama iaitu sektor pembuatan dan perkhidmatan terus kekal sebagai penyumbang utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor, dengan mencatatkan nilai sebanyak RM32 bilion atau bersamaan dengan 31 peratus nilai KDNK dan RM36.2 bilion (34 peratus).

“Secara asasnya, unjuran semula pertumbuhan ekonomi Johor pada tahun 2017 telah berkembang pada kadar 5.9 peratus hingga 6.3 peratus, lebih tinggi daripada unjuran asal iaitu 4.5 peratus hingga 5.5 peratus semasa ucapan bajet yang lepas,” ulas Mohamed Khaled.

Unjuran pertumbuhan ekonomi Johor bagi tahun 2018 juga dianggarkan sekitar 5.5 peratus hingga 6 peratus.

Mohamed Khaled pada masa yang sama turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,500 kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang dibiayai oleh kerajaan negeri.

Pemberian bantuan khas tersebut turut merangkumi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, Ahli Dewan Negeri Johor, Ahli Jumaah Diraja Johor, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri Johor, Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Guru-guru Tadika Agama Islam Johor (TAJ).

Kerajaan Johor pada masa yang sama turut memperkenalkan Bantuan Khas Persaraan bernilai RM1,000 kepada penjawat-penjawat awam negeri yang bersara bermula tahun 2018.

“Bagi menghargai jasa bekas Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Negeri akan menaikkan kadar pencen pesara ADUN kepada 60% daripada gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan yang bersamaan dengan kadar pencen ahli-ahli Parlimen,” ujar Mohamed Khaled lagi ketika berucap di dalam sesi pembentangan Bajet Johor 2018.

Kesemua bantuan khas tersebut akan dibayar kepada para penerima pada Januari 2018.