19
Jum, Jan
674 ARTIKEL BARU

Polis KL Tumpu Ancaman Daesh, Gangsterisme dan Jenayah Ragut

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Ancaman militan Daish, gangsterisme dan ragut merupakan antara jenayah yang diberi perhatian Polis Kuala Lumpur bagi memastikan bandar raya ini berada dalam keadaan selamat, tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.

Malah, beliau turut meminta agar semua warga polis kontinjen itu bersama-sama beliau memastikan misi tersebut tercapai.

“Kita akan memberi tumpuan kepada unsur militan Daish yang mana saya akan mendengar taklimat daripada Jabatan Cawangan Khas mengenai kesiapsiagaan jabatan itu untuk memastikan tiada anasir militan bercambah di Kuala Lumpur.

“Saya juga melihat aktiviti mahupun sindiket gangsterisme sebagai satu yang akan diberi tumpuan. Kita tidak mahu mereka memperlekehkan kita (polis) sebaliknya akan ada operasi untuk mengekang sindiket ini.

“Malah, jenayah jalanan seperti ragut juga akan diberi tumpuan khusus bagi memastikan rakyat dan pelancong yang berada di Kuala Lumpur berasa selamat.

"Ini komitmen saya selaku Ketua Polis Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada majlis mesra media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Mazlan yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dinaikkan pangkat kepada Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa 9 November lalu menggantikan Datuk Amar Singh.

Dalam pada itu, selain tiga tumpuan jenayah tersebut, Mazlan berazam beberapa jenayah lain seperti Macau Scam, perjudian atas talian, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk aktiviti pelacuran dan trafik akan ditekankan bagi memastikan rakyat berasa selamat berada di bandar raya ini.

Beliau mengakui, pihaknya berdepan cabaran besar dalam menghadapi jenayah era digital ini.

“Sebagai contoh, perjudian atas talian kini tidak sama dengan aktiviti judi dahulu. Kita hanya masuk nama pengguna dan kata laluan, seseorang boleh melakukan jenayah perjudian atas talian. Kita akan benteras perkara ini,” katanya.

 

Selain itu, Mazlan berkata, beliau turut akan memastikan persiapan kontinjen itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berada pada tahap terbaik dan tiada kekacauan berlaku sepanjang PRU itu berlangsung.