14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Jepun Bantu Malaysia Bersedia Untuk Revolusi Industri 4.0 - Najib

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Syarikat-syarikat Jepun telah menyumbang kepada agenda Malaysia dalam menjana pertumbuhan mampan dan inklusif, dan pada masa yang sama mempersiapkan negara ke arah Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Jepun memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Malaysia, sebagai sumber pelaburan asing sejak 1980-an dan pada September tahun ini, ia menjadi pelabur asing kedua terbesar selepas Singapura, dengan pelaburan bernilai US$16.6 bilion (RM70 bilion).

"Jepun juga merupakan sumber utama pelaburan langsung asing dalam sektor perkilangan Malaysia. Pada akhir 2016, sebanyak 2,621 projek dengan penyertaan Jepun, bernilai US$27.8 bilion (RM88.5 bilion) telah dilaksanakan," kata Najib dalam ucaptama pda Forum Perniagaan Nikkei Malaysia 2017, di sini hari ini.

Najib berkata bagi separuh pertama tahun ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia meluluskan 16 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun, bernilai RM559 juta, dengan 75 peratus daripadanya metupakan pelaburan semula oleh syarikat-syarikat Jepun yang sudah beroperasi di negara ini.

Beliau menekankan bahawa pelaburan semula ini menunjukkan kepercayaan dan keyakinan berterusan ke atas Malaysia sebagai tempat utama bagi syarikat untuk menjalankan perniagaan.

Perdana Menteri berkata Malaysia menjalin kerjasama dengan Jepun sejak 1982 menerusi Dasar Pandang Ke Timur, dan kedua-dua negara baru-baru ini mengesahkan komitmen mereka untuk mengekalkan kerjasama dua hala pada tahap tertinggi sepanjang masa.

Menerusi Dasar Pandang Ke Timur, Malaysia menghantar pelajarnya ke universiti dan institut teknologi Jepun, selain memperoleh pengalaman dan latihan industri. Sehingga kini, lebih daripada 16,600 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat menerusi program ini.

Najib berkata Asia mempunyai potensi untuk menjadi pasaran yang menguntungkan berdasarkan anggaran bahawa 5.3 bilion penduduk akan menetap di bahagian dunia ini pada 2050, atau menyumbang kira-kira 54 peratus daripada jumlah penduduk dunia yang diunjurkan seramai 9.9 bilion.

"Banyak yang mengatakan bahawa abad ke-19 milik United Kingdom, manakala abad ke-20 didominasi oleh Amerika Syarikat.

"Hari ini, pakar pasaran dan penganalisis mengunjurkan bahawa kini merupakan giliran Asia pula menjadi pusat ekonomi dunia pada abad ke-21," katanya. -- BERNAMA