14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Penganalisis Politik Sifatkan PAU2017 ‘Ibu Segala Perhimpunan’

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini merupakan 'ibu segala perhimpunan' bagi memastikan parti keramat Melayu itu berada pada posisi kukuh dalam persekitaran politik kini yang kian mencabar, tegas Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Malah, beliau turut dipetik berkata, perhimpunan kali ini merupakan pentas akhir bagi kepimpinan parti untuk menampilkan kemampuan mereka bagi meraih sokongan pengundi Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Kita akan lihat bagaimana UMNO meraih kembali sokongan pengundi Melayu yang kini terpecah kepada lima parti, iaitu UMNO sendiri, Pas, PAN, PKR dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Selain itu, perhimpunan ini juga merupakan pentas untuk memastikan kesemua ahli berdiri teguh di belakang institusi Presiden serta memastikan jentera parti cukup bersedia bagi menghadapi PRU 14 nanti," katanya dipetik Astro Awani.

Selain daripada perkara dalaman parti, beliau turut menjangkakan isu kerjasama dengan Pas juga akan mendapat perhatian dalam PAU kali ini.

"Kerjasama ini dilihat dari segi penerimaannya dalam kalangan ahli serta sejauh mana ahli memahami posisi kerjasama itu," kata Prof Sivamurugan.

Beliau menjangkakan isu-isu lain berkaitan rakyat seperti kos sara hidup turut disentuh memandangkan kepimpinan parti ingin memastikan sokongan daripada akar umbi menjelang PRU14 nanti.

 

"Saya pasti perkara ini bukan sahaja akan dibangkitkan oleh para perwakilan tetapi sudah pasti Presiden UMNO sendiri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam ucapannya nanti," katanya.