14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Komen Peguambela Mahkamah Agung Amerika Syarikat, Thomas C Goldstein Mengenai 1MDB

Semasa
Typography

“Tiada sebarang tindakan diambil ke atas 1MDB buat masa ini. Hanya ke atas harta yang dirasakan diperoleh menggunakan wang milik 1MDB,” ujar Thomas C Goldstein, Pegumabela Mahkamah Agung Amerika Syarikat ketika ditanya mengenai tindakan rampasan sivil terhadap 1MDB.

Tom Goldstein menjawab pertanyaan tersebut yang dikemukakan ketika sesi ceramahnya berkenaan ‘Litigasi Jenayah di Amerika Syarikat’ di Fakulti Undang-undang UiTM, semalam.

Menurut beliau, tiada siapa yang boleh dilucutkan aset tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya dan kesemua proses perundangan tersebut perlu diperdengarkan, sebagaimana yang terkandung di dalam Kontitusi Amerika Syarikat.

“Badan Kehakiman Amerika Syarikat, berdasarkan kepada aduan yang dibuat, hanya menyiasat wang dan apa yang difikirkan mungkin mempunyai kaitan dengan 1MDB. Sehingga ke saat ini, tiada sebarang jenayah yang direkodkan,” tambahnya lagi.

Tom Goldstein merupakan salah seorang pengamal undang-undang berpengalaman di Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan beliau sangat arif di dalam selok-belok Undang-undang Persekutuan Amerika Syarikat.

Sebagai salah seorang pendebat di Mahkamah, Tom telah memenangi pelbagai kes yang melibatkan hal timbangtara, muflis, prosedur sivil, undang-undang kecacatan, diskriminasi pekerjaan, Pindaan Keempat, kebebasan bersuara, habeas corpus, imigresen, buruh, keselamatan dan tanda dagangan.

Ketika ditanya mengenai kepada pihak manakah wang yang telah dirampas oleh Badan Kehakiman Amerika Syarikat itu akan dikembalikan, Tom menjelaskan bahawa isu tersebut telah menyebabkan Badan Kehakiman Amerika Syarikat berada di dalam limbo kerana 1MDB telah menyatakan bahawa wang tersebut bukan milik mereka sedangkan kes tersebut adalah berdasarkan kepada wang yang diambil dari 1MDB, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengadu yang bukannya wakil dari 1MDB.

“Badan Kehakiman Amerika Syarikat baru-baru ini telah menangguhkan tuntutan saman pencabulan sivil terhadap aset terlibat (berkait dengan pembiaya warga Malaysia, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low) kerana sekiranya diteruskan, ia bakal memberikan ‘kesan buruk’ ke atas kemampuan mereka dalam melaksanakan siasatan jenayah. Apa yang dilakukan oleh Badan Kehakiman Amerika Syarikat adalah cuba untuk mengelakkan kehilangan wang dengan mencetuskan tindakan jenayah,” jelas Tom. “Namun kini hanya sedikit aktiviti yang direkod berkaitan kes tersebut dan tiada siapa yang diletakkan sebagai sasaran jenayah”.

 

Ditanya sama ada ini (apa yang diperkatakan 1MDB bahawa wang tersebut bukan milik mereka) merupakan sebab Badan Kehakiman Amerika Syarikat perlu mengambil masa yang lama untuk memulakan sesuatu, jawapan yang diberikan beliau adalah “Ya”.

 

“Sejumlah besar wang telah mengalir masuk ke Amerika Syarikat dan Badan Kehakiman Amerika Syarikat berminat untuk mengetahui dari manakah punca wang tersebut. Ia bukanlah satu kes jenayah dan sebarang pertambahan hanya akan lebih menyukarkan. Tiada siapa yang dinamakan di dalam pertuduhan perlucutan sivil. Sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah maka ianya akan menjadi sebuah kes jenayah klasik dan segala beban berkaitan bukti adalah dipikul oleh Badan Kehakiman Amerika Syarikat yang mana mereka perlu mengemukakan lebih banyak keraguan munasabah yang menunjukkan bahawasanya terdapat jenayah yang dilakukan,” ujar Tom lagi.

Selain menjadi pengamal undang-undang, Tom juga merupakan tenaga pengajar bagi subjek Litigasi Mahkamah Agung di Sekolah Undang-undang Harvard sejak 2004 dan turut mengajar subjek yang sama di Sekolah Undang-undang Stanford selama hampir sedekad, sebelum ini.

 

Tom juga adalah pengasas bersama SCOTISblog – sebuah laman sesawang yang dikhaskan bagi liputan komprehensif mahkamah – yang juga merupakan satu-satunya weblog yang pernah menerima Anugerah Peabody.