14
Kha, Dis
882 ARTIKEL BARU

Lebih 300,00 Pengunjung Hadir Ekspo Negaraku - Rahman Dahlan

Semasa
Typography

KUALA LUMPUR - Ekspo Negaraku 2017 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan berakhir pada 15 Disember ini, disarankan agar dipanjangkan tempoh pameran bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung menyaksikan ekspo berkenaan.

Ia disarankan oleh beberapa Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara yang dibawa melawat pemeran itu sempena Persidangan Agung Umno yang berlangsung dari 5 hingga 9 Disember ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, banyak maklumat dan pengetahuan dapat diperolehi sepanjang beliau menyertai lawatan itu.

"Ia info yang menarik secara tidak langsung rakyat tahu apa yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan dan pembangunan negara yang akan dilaksanakan.

"Saya juga bercadang untuk mengadakan pameran seperti ini di Kedah, berkemungkinan dalam skala yang lebih kecil, saya juga menyarankan agar tempoh pameran ini dilanjutkan,' katanya yang ditemui di pameran Ekspo Negaraku 2017, di sini hari ini.

Bagi Ketua Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata,  ekspo ini membukti bahawa kerajaan sentiasa menunaikan janji dalam membangunakan negara tidak seperti pembangkang yang memberikan janji kosong.

Menurutnya, rakyat boleh melihat sendiri apa yang dirancangkan oleh kerajaan malah ia bukan saja membabitkan sesuatu kawasan malah merangkumi seluruh negara.

"Kami amat berharap agar tempoh pameran ini dapat dilanjutkan sehingga hujung tahun tambahan pula cuti sekolah, ini dapat memberikan pendedahan kepada golongan pelajar dan remaja," katanya.

Manakala Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus berkata, ini merupakan kali pertama beliau hadir di ekspo berkenaan dan ia begitu menarik kerana ia sesuatu yang baru untuk ditonjolkan kepada rakyat.

"Tidak ramai masyarakat di negara ini mengetahui lebih mendalam apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk memajukan rakyat.

"Waktu yang pendek perlu dipanjangkan lagi bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat pelbagai kaum dari luar bandar untuk melihat sendiri apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan demi masa depan negara," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri berhubung lanjutan tempoh pameran ekspo berkenaan.

"Sememangnya ia mendapat sambutan sehingga hari ini lebih daripada 300,000 pengunjung telah hadir untuk menyaksikan pameran ini yang berlangsung sejak 15 November lalu.

"Perbincang  itu merangkumi pelbagai aspek antaranya lanjutan tempoh pameran, termasuk diadakan di setiap negeri dan pendekatan bagi membawa lebih ramai pengunjung," katanya.

Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka bermula 15 November hingga 15 Disember, menempatkan lima kubah utama memperincikan mengenai pembangunan infrastruktur terkini dan akan datang.

Ekspo infrastruktur terbesar itu bakal mempamerkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera bagi rakyat Malaysia.